Pekerja dilayan seperti hamba

0

Sembilan wanita Filipina dakwa tidak dibayar gaji dan dilarang keluar dari tempat penginapan mereka selepas waktu bekerja

MIRI: Hamba abdi moden, itu nasib sembilan wanita warganegara Filipina yang mendakwa tidak dibayar gaji serta dilarang keluar dari penginapan mereka selepas waktu bekerja.

Malah, kumpulan itu mendakwa pasport mereka turut dirampas tanpa sebab oleh majikan.

“Nasib kami cukup malang. Kami tidak pernah diberi gaji dan dilarang keluar selepas waktu kerja. Tidak cukup dengan itu, pasport kami juga dirampas,” jelas pengadu, yang berusia 27 tahun ketika membuat laporan polis malam kelmarin.

Pengadu yang bekerja sebagai penyanyi berjaya melarikan diri dari majikannya dan membuat laporan kepada pihak berkuasa sekitar jam 9 malam.

Mangsa memberitahu, dia dan tiga rakannya tiba di Miri September lalu dan belum pernah menerima gaji yang dijanjikan oleh majikan.

Pusat hiburan itu turut menggaji lima lagi wanita Filipina untuk bekerja sebagai pelayan dan penyanyi.

“Gaji kami turut dipotong dengan alasan digunakan untuk membeli makanan dan pakaian kami.

“Saya pernah mengadu penderitaan saya kepada kakitangan dan pelanggan tetapi tidak dilayan. Saya juga pernah ditampar dan mahu dipukul dengan kerusi,” dakwanya.

Pengadu memberitahu, dia sebelum ini pernah melarikan diri bersama teman lelakinya tetapi berjaya dikesan oleh majikannya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Miri Superintenden Ismail Idris ketika dihubungi mengesahkan kes berkenaan.

Bertindak atas laporan yang diterima, sepasukan polis ditugaskan  untuk  menyelamatkan  lapan rakan sekerja mangsa dari pusat berkenaan.

Mereka ditempatkan sementara di Balai Polis Miri untuk siasatan lanjut kes.

“Kami akan siasat kes ini mengikut Seksyen 13 Akta Anti Pemerdagangan Orang 2007,” jelas Ismail.