Pengawal keselamatan cedera tertembak lutut kanannya

0

KUCHING: Seorang pengawal keselamatan cedera di lutut kanannya selepas pistolnya secara tidak sengaja meletup dalam kejadian pada jam 2 pagi kelmarin.

Difahamkan, pistol yang dibawa mangsa tiba-tiba meletup ketika lelaki berusia 36 tahun itu hendak menyimpannya di dalam sebuah van.

Ketika kejadian, mangsa yang berasal dari Lundu sedang mengiringi rakan-rakannya mengumpul wang dari mesin deposit wang tunai sebuah bank di Jalan Tun Jugah di sini.

Kejadian berlaku ketika mereka hendak meninggalkan bank berkenaan.

Mangsa telah dihantar ke Hospital Umum Sarawak untuk rawatan lanjut.

Laporan polis telah dibuat berhubung kejadian.