Ambil dan hantar borang BR1M secara berkelompok

0

TURUN PADANG: Entri (kiri) bersama setiausahanya, William Changang membantu penduduk mengisi borang bantuan RM500 di dewan masyarakat Beluru kelmarin.

SIBU: Ambil dan hantar borang permohonan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) secara kelompok bagi mengelakkan kesesakan, kata Pengarah Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Cawangan Sibu Sawing Kri.

Jelasnya, mengambil dan menghantar borang BR1M secara kelompok itu hendaklah dilakukan oleh ketua masyarakat seperti tuai rumah, ketua kampung, penghulu dan ketua kaum yang lain.

“Borang diambil dan dihantar melalui cara kelompok seperti diwakili ketua masyarakat dan ketua kaum, saya rasa itulah jalan terbaik.

“Kita tidak mahu orang berebut-rebut sehingga boleh memburukkan keadaan semata-mata untuk mengambil dan menghantar borang BR1M ini.

“Soal ini, ketua masyarakat dan ketua kaum hendaklah memainkan peranan bagi membantu penduduk mendapatkan serta menghantar borang BR1M.

“Kita tidak mahu borang ini diambil dan dihantar secara individu khususnya melibatkan penduduk kampung dan rumah panjang bagi mengelak sebarang kesulitan berlaku.

“Biarlah proses menghantar dan mengambil borang permohonan BR1M ini dibuat secara sistematik dan tersusun agar tidak berlaku kelam-kabut di pejabat LHDN di sini,” ujarnya kepada Utusan Borneo ketika ditemui di pejabatnya di sini, semalam.

Untuk rekod jelasnya, LHDN Cawangan Sibu telah mengeluarkan sebanyak 31,000 keping borang permohonan BR1M pada hari pertama sejak kaunter dibuka pada 10 Disember lalu manakala pada hari kedua iaitu pada 11 Disember sebanyak 7,250 borang itu diedarkan.

Manakala bagi borang yang dikembalikan yang telah siap diisi, menurut Sawing lagi, pada hari pertama (10 Disember) LHDN Cawangan Sibu menerima sebanyak 1,626 keping borang manakala hari kedua (11 Disember) sebanyak 2,828 keping borang yang diterima.

“Pada hari ini (semalam), kami menerima sebanyak 5,573 keping borang yang dikembalikan kepada kami yang telah pun siap diisi.

“Namun orang ramai masih boleh mendapatkan borang permohonan ini sehingga 31 Disember ini.

“Selain mendapatkannya di LHDN Cawangan Sibu, orang ramai juga boleh mendapatkannya di Pejabat Daerah Sibu yang baru membuka kaunter untuk mendapatkan borang ini hari ini (semalam) dari jam 9 pagi hingga jam 5 petang.

“Jika tidak berpeluang untuk mendapatkannya, borang ini boleh di fotostat. Ini bagi mengelakkan kesesakan di kaunter-kaunter kami dan Pejabat Daerah Sibu.

“Lagipun, tarikh akhir menghantar borang ini adalah pada 10 Januari depan. Masa masih lama dan tidak perlulah berebut seperti keadaan yang berlaku di depan pejabat LHDN sekarang,” tegasnya.

Sawing memberitahu, borang yang telah siap diisi hendaklah dihantar ke pejabat LHDN Cawangan Sibu dari jam 8 pagi hingga jam 5 petang, tidak lewat dari 10 Januari depan.

“Saya menasihati pemohon tidak datang ke pejabat LHDN dan dapatkannya daripada tuai rumah dan ketua kampung anda,” katanya.