Tuesday, October 15

Penantian 30 tahun berakhir

0

TAKLIMAT: Ahmad Lai (dua kiri) dan Rosey Yunus (tiga kiri) mendengar taklimat berkenaan proses operasi SPASR di Rumah Pilet, Niah semalam.

NIAH: Penantian penduduk Rumah Pilet untuk menikmati bekalan air bersih hampir 30 tahun berakhir selepas penghuninya telah menerima Sistem Penapisan Air Sungai Ringkas (SPASR) semalam.

Menteri Muda Pendidikan Awal Kanak-kanak dan Pembangunan Keluarga Rosey Yunus berkata Rumah Pilet yang didiami kira-kira 31 keluarga selama ini terpaksa menggunakan air sungai untuk kegunaan harian.

“Kita bersyukur kerana kerajaan prihatin dengan keperluan rakyat bahkan menyediakan kemudahan bekalan air bersih kepada penduduk Rumah Pilet yang selama ini menggunakan air sungai yang keruh untuk kegunaan harian,” katanya.

Rosey berkata demikian pada majlis perasmian dan penyerahan rasmi SPASR dan Sistem Penapisan Air Bawah Tanah Ringkas (SPATR) kepada Rumah Pilet, Kampung Lajong dan Kampung Tegageng di Saeh, Niah semalam.

Tambahnya, kerajaan juga tidak pernah menidakkan keperluan rakyat sebaliknya sentiasa mencari ruang  dan peluang untuk membantu atau membela nasib rakyat terutama mereka yang tinggal di luar bandar.

“Kerajaan sentiasa memikirkan cara untuk membantu dan meringankan beban rakyat termasuk menyediakan bekalan air bersih kepada penduduk Rumah Pilet yang menjadikan air sungai sebagai keperluan utama,” katanya.

Menurutnya, salah satu usaha kerajaan ialah menyediakan SPASR kepada penduduk Rumah Pilet untuk menikmati bekalan air bersih yang telah dinanti-nantikan sejak 1982.

“Kerajaan telah menjalankan kajian terhadap sumber air di kawasan ini dan berikutan sumber airnya bersih, maka kerajaan telah memutuskan untuk menyediakan SPASR kepada Rumah Pilet,” jelasnya.

Menurutnya, kerajaan melalui Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah turut membelanjakan kira-kira RM1,053,190 untuk membekalkan SPASR dan SPATR.

“Selain Rumah Pilet, kerajaan juga menyediakan SPATR kepada penduduk Kampung Lajong dan Kampung Tegageng bagi memudahkan kehidupan rakyat di kawasan luar bandar,” katanya.

Tambahnya, jumlah kos pembinaan SPASR Rumah Pilet adalah RM274,300 manakala bagi SPATR Kampung Lajong dan Kampung Tegageng masing-masing RM446,700 dan RM332,190.

“Kesemua projek ini membuktikan kerajaan prihatin dengan keperluan rakyat luar bandar dan hanya kerajaan Barisan Nasional sahaja yang mampu memenuhi semua kehendak rakyat,” katanya.

Hadir sama ialah Ahli Parlimen Sibuti Ahmad Lai Bujang, Pengarah Mineral dan Geosains Sarawak Alexander Unya Ambum, wakil Residen Miri Dorisi Resit dan Tuai Rumah Pilet Gindi.

Sementara itu, Ahmad Lai berkata setakat ini terdapat tiga kawasan yang mendapat bekalan air bersih.

“Setakat ini, hanya Rumah Pilet, Kampung Lajong dan Kampung Tegageng di Saeh, Niah yang menerima kemudahan SPASR dan SPATR namun projek ini akan diteruskan di kawasan-kawasan yang memerlukan perkhidmatan itu,” katanya.

Tambahnya, kerajaan amat prihatin dan sentiasa berusaha untuk membangun dan meningkatkan taraf hidup penduduk, dalam menyediakan prasarana dan keperluan asas bagi penduduk luar bandar.

“Kajian potensi air bawah tanah di ketiga-tiga kawasan telah dilakukan sejak 2009 dan hanya Kampung Lajong dan Kampung Tegageng yang berpotensi untuk SPATR berbanding Rumah Pilet,” katanya.

Tambahnya, kepakaran Jabatan Mineral dan Geosains Sarawak telah membawa perubahan yang ketara dalam mengubah taraf hidup penduduk terutama di ketiga-tiga kawasan tersebut.