Thursday, November 14

Rakyat di Marudi terus nikmati projek pembangunan

0

MASIH ADA PEMBANGUNAN: Entri (tiga dari kiri) menyampaikan surat pemberitahuan kelulusan projek pembinaan jalan bernilai RM0.406 juta dan geran MRP kepada penduduk di Marudi.

BELURU: Rakyat di Marudi terus menikmati projek pembangunan dan pengagihan projek kecil luar bandar (MRP) walaupun wakil rakyatnya digugurkan daripada parti.

Menteri Muda Kemudahan Awam (Bekalan Air) Sylvester Entri Muran berkata, dengan statusnya sebagai bekas naib presiden Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP), ia tidak menghalang beliau untuk terus membantu rakyat di kawasan itu.

“Rakyat di Marudi memberi sokongan penuh terhadap Barisan Nasional (BN) walaupun pemimpin SPDP tidak memberi sokongan kepada saya sebagai calon BN semasa pilihan raya negeri yang lalu.

“Malah semua peruntukan pembangunan datang daripada kerajaan bukannya parti,” katanya yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Marudi.

Entri berkata demikian pada majlis penyampaian dana MRP bernilai RM405,600 kepada 108 penerima di konstituensi Marudi dan penyampaian surat pemberitahuan kelulusan projek jalan dari Bakong hingga Teru, semalam.

“Pemberian geran dan surat pemberitahuan itu sekali gus menyangkal khabar angin yang menyatakan saya tidak ada lagi dana untuk diberikan kepada rakyat dan parti akan mengambil alih Marudi berikutan penyingkiran saya daripada parti,” katanya.

Ujar Entri, walaupun rakyat di Marudi tidak mempunyai pemimpin SPDP di peringkat pusat, namun mereka tetap memberi kemenangan besar kepada BN semasa pilihan raya negeri yang lalu.

“Baru sekarang mereka tiba-tiba muncul di Marudi dan kehadiran mereka telah memecah-belahkan rakyat di situ, walhal semasa kempen mereka tidak pernah datang menjenguk.

“Mereka juga hipokrit kerana menyifatkan tindakan menggugurkan saya sebagai mengutamakan kepentingan parti sedangkan masalah akar umbi berpunca daripada Presiden Tan Sri William Mawan Ikom yang gagal mempertahankan status quo dalam jawatankuasa parti,” ujarnya.

Entri menambah, Mawan sepatutnya mengekalkan status quo berkenaan jika beliau benar-benar mahu menjaga kepentingan parti, bukannya menyingkirkan saya dan menghukum empat lagi wakil yang dipilih.

Apa pun kata Entri, penyingkiran daripada SPDP tidak akan melemahkan semangat beliau untuk terus berkhidmat malah menganggap ia sebagai cabaran dalam politik untuk bekerja lebih gigih.