Tarik belia ke masjid menerusi pertandingan bola sepak, kata Hasbi

0

ALBUM: Hasbi (barisan kedua berdiri tengah) dan kenamaan lain bergambar bersama pasukan juara, naib juara dan tempat ketiga sebaik perlawanan berakhir di Kompleks Sukan Limbang kelmarin.

LIMBANG: Pertandingan Bola Sepak Remaja Masjid dan Surau Daerah menjadi platform untuk menarik golongan belia ke masjid selain memeriahkan rumah ibadat dengan pelbagai program keagamaan serta aktiviti sihat.

Ahli Parlimen Limbang Hasbi Habibollah berkata masjid dan surau mempunyai peranan yang lebih luas bukan sahaja sebagai rumah ibadat tetapi pusat pendidikan dan kesukanan.

Jelasnya melalui sukan bola sepak ia juga dapat mengelak golongan remaja daripada terjebak dengan gejala sosial yang boleh merosakkan akidah mereka.

“Dengan adanya program ini, ia merupakan pendekatan terbaik untuk mendekatkan belia dengan masjid dan surau.

“Pada masa yang sama rumah ibadah ini boleh dimanfaatkan sebagai pusat keagamaan, pendidikan, kesukanan dan aktiviti yang boleh memajukan masyarakat Islam keseluruhannya,” katanya.

Hasbi berkata demikian pada Pertandingan Bola Sepak Remaja Masjid dan Surau Daerah di Kompleks Sukan Limbang kelmarin.

Hadir sama ialah ADUN Bukit Kota Dr Abdul Rahman Ismail, Residen Limbang Maria Hasman, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perayaan Islam Daerah Suhandi Tugiman, Pegawai Agama Islam BahagianShazli Dato Sri Abdul Kadir dan jemputan lain.

Sementara itu pasukan Piasau FC mewakili Surau Nur Ehsan muncul juara selepas menewaskan pasukan Masjid Kampung Pahlawan dengan jaringan 2-1.

Selaku juara mereka membawa pulang wang tunai RM1,500 piala rebutan, piala iringan, pingat dan sijil.

Manakala pasukan Masjid Kampung Pahlawan mendapat habuan berupa RM1,000 serta piala iringan, pingat dan sijil.

Pasukan Bunga Raya (Surau Darul Ehsan) dan pasukan RPR United (Surau Baitur Rahmah) selaku tempat ketiga bersama menerima wang tunai masing-masing RM400, piala iringan, pingat dan sijil.

Sebanyak 18 pasukan menyertai pertandingan yang diadakan selama dua hari dan berakhir kelmarin.

Pertandingan itu diadakan untuk menggalakkan para belia dan remaja aktif bersukan serta membudayakan amalan kesihatan dari segi fizikal, mental, rohani dan jasmani.

Pada masa sama ia dapat mendedahkan kumpulan sasar tentang peranan masjid dan surau bukan sekadar institusi keagamaan.