Friday, May 27

Ada pihak cuba halang pembangunan kerajaan di kawasan spesifik: Naroden

0

PAMPASAN: Naroden menyampaikan pampasan kepada penduduk terlibat di Dewan Masyarakat Serian, semalam.

SERIAN: Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri Datuk Mohd Naroden Majais percaya ada pihak yang cuba menghalang pembangunan kerajaan di kawasan-kawasan spesifik.

Menurutnya, mereka yang menghalang pembangunan telah menghasut rakyat di kawasan terbabit menyebabkan pembangunan yang dirancang tidak dapat dilaksanakan di kawasan-kawasan berkenaan.

“Sebagai contohnya di kampung saya (Gedong), apabila kita hendak membina parit mereka tidak setuju dan menebus kembali tanah yang telah digali.

“Ini telah menyusahkan kontraktor yang terbabit dan rakyat lain yang sememangnya inginkan pembangunan,” katanya kepada pemberita pada Majlis Penyampaian Cek Pampasan Tanah Bahagian Samarahan, di sini semalam.

Mohd Naroden menarik perhatian sememangnya kes-kes sebegini banyak berlaku di negeri ini dan menyebabkan rakyat terpaksa menerima hakikatnya.

Beliau berkata apabila projek pembinaan parit itu dihalang sudah pasti kawasan terbabit dilanda banjir dan ketika itu barulah mereka sedar akan kepentingan pelaksanaan projek terbabit.

“Saya amat berharap penduduk yang terlibat dalam projek-projek pembangunan kerajaan agar faham dan memberi kerjasama untuk memudahkan pelaksanaannya.

“Malah, kita percaya projek yang dipohon rakyat itu adalah untuk kemudahan mereka bersama,” katanya.

Seramai 91 orang menerima cek pampasan itu dengan kos bernilai RM1.7 juta.

Projek-projek itu melibatkan pembinaan rumah kediaman guna sama persekutuan Serian, naik taraf Jalan Tembawang Taup/Retoh, Serian – Projek Jalan Luar Bandar (JALB), Tabika KEMAS Kampung Murud, Plaman serta cadangan projek menggantikan jambatan Sungai Tangga, Mawang.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kedup Martin Ben, wakil Penguasa Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Bahagian Samarahan Abdul Khalil Amit dan Pegawai Tadbir Pejabat Residen Bahagian Samarahan Zul Usop.

Naroden yang juga Menteri Muda Perancangan dan Pengurusan Sumber berkata kelewatan projek-projek di kawasan terbabit juga disebabkan peruntukan terhad, malah perlu membayar pampasan kepada penduduk terbabit.

Mengenai permohonan masyarakat Bidayuh di sini untuk penyukatan tanah-tanah adat bumiputera secara perimeter, BELIAU berkata: “Usaha itu akan dilakukan jika pihak JTS telah bersedia dan mendapat kerjasama daripada penduduk terlibat.”