MBM, SESCo digesa percepat pasang kabel bawah tanah di Jalan Maigold

0

MIRI: Majlis Bandaraya Miri (MBM) dan Syarikat SESCo Berhad (SESCo) digesa mempercepatkan kerja-kerja pemasangan kabel bawah tanah bagi menggantikan tiang lampu dan pemindahan lampu jalan ke pembahagi jalan di Jalan Maigold, Senadin sebelum sekolah dibuka pada 3 Januari tahun depan.

Menteri Muda Perhubungan Datuk Lee Kim Shin berkata, setakat ini sekitar 30,000 penduduk meliputi tiga kawasan perumahan utama iaitu Promin Jaya, Paradise Park dan Desa Senadin menggunakan laluan itu setiap hari.

Selain itu, Jalan Maigold turut menghubungkan Universiti Curtin Sarawak, Sekolah Kebangsaan (SK) Pujut dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Senadin menyebabkan laluan sesak terutama ketika waktu puncak.

“Justeru MBM dan SESCo perlu menyiapkan projek pemasangan kabel bawah tanah dan pemindahan lampu ini sebelum sesi persekolahan bermula,” katanya selepas meninjau projek menaik taraf Jalan Maigold di Desa Senadin semalam.

Lee yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Senadin menambah, projek pembinaan dua lorong tambahan sepanjang 900 meter itu membabitkan kos RM860,000 dan ia merupakan satu projek di bawah MBM.

“Apabila siap nanti, jalan ini akan mempunyai empat lorong dan ia sekali gus menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas terutama pada waktu puncak,” katanya sambil menambah jalan tersebut terlalu sesak terutama pada jam 6 pagi hingga 8 pagi, 12 tengah hari hingga 2 petang dan dari jam 5 hingga 7 malam.

Sementara itu, SESCo dijangka akan menempatkan semula sebanyak 12 tiang lampu yang menyebabkan gangguan lalu lintas di laluan pejalan kaki dan basikal di sepanjang Jalan Brighton berhadapan SMK Chung Hua di sini.

Kerja-kerja penempatan semula itu dijangka akan dilaksanakan minggu depan dengan kos RM140,000 yang diibiayai bersama MBM dan SESCo.