Program hari peluang latihan hari ini

0

LIMBANG: Berita baik bagi pelajar lepasan sekolah yang ingin melanjutkan pelajaran dalam bidang kemahiran, Program Hari Peluang Latihan dan Pendidikan Bahagian Limbang akan diadakan di Dataran Jubli Emas pada 15 Disember (hari ini) bermula jam 9 hingga 5 petang.

Program tersebut merupakan anjuran kerajaan negeri melalui Jabatan Ketua Menteri dengan kerjasama Jabatan Pembangunan Kemahiran Cawangan Sarawak dan institusi-institusi kemahiran yang ada di negeri ini.

Jurucakap penganjur berkata, program-program yang ditawarkan termasuk Program Sistem Latihan Dual Nasional, Program Latihan Kemahiran 1Malaysia dan Program Latihan Kemahiran Etnik Minoriti.

“Sasaran kita adalah untuk mengesan, menarik minat dan mendekati pelajar-pelajar lepasan PMR, SPM dan STPM yang tidak mampu atau tidak layak mengikuti pengajian akademik di mana-mana IPTA/IPTS agar mengikuti program latihan, teknikal, kemahiran dan vokasional,” katanya dalam satu kenyataan akhbar semalam.

Beliau menjelaskan bahawa program itu dapat memberi maklumat tentang peluang pendidikan, latihan dan kerjaya yang sedia ada supaya dapat melahirkan sumber manusia yang kompeten.

“Pada masa sama hasrat kita untuk melahirkan sumber tenaga mahir, untuk keperluan tenaga kerja dalam Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) dapat dicapai,” katanya.

“Sehubungan itu orang ramai dijemput beramai-ramai untuk menghadiri pameran tersebut bagi mengenal pasti peluang-peluang latihan, pendidikan dan kerjaya yang ditawarkan.

“Pelbagai institusi kemahiran akan turut mengambil bahagian dan menawarkan tempat terutama di peringkat sijil,” jelasnya.

Pada masa yang sama katanya, mereka boleh mendapatkan pelbagai maklumat, risalah, borang permohonan untuk dibawa balik sebagai rujukan dan persediaan latihan, pendidikan yang diminati serta bersesuaian.

Selain Limbang program serupa bakal diadakan di Lawas pada 17 Disember (Sabtu) di Gelanggang Bola Keranjang Lawas dan di Daerah Subis pada 27 Disember nanti.