Menyertai BN lebih memudahkan Dr Rayong membantu rakyat

0

ENGKILILI: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili Dr Johnnical Rayong Ngipa mengakui bahawa lebih mudah buat beliau membantu rakyat dalam kawasannya sejak menyertai Barisan Nasional (BN) pada tahun lepas.

Ini berikutan kerajaan BN mempunyai sumber dan keupayaan menyalur pelbagai projek pembangunan buat rakyat semua, ujarnya.

“Kemajuan yang dinikmati rakyat DUN Engkilili nyata semakin meningkat sejak saya menyertai BN sekali gus membuktikan bahawa hanya BN yang berkebolehan membangunkan mereka selama ini,” katanya.

Dr Rayong berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Merarau Bersama Jasa Pemimpin Kepada Rakyat 2011 yang berlangsung di Rumah Rumpang, Lubok Numpu, Skim Skrang, Engkilili, di sini, semalam.

Majlis dirasmikan oleh Ahli Parlimen Lubok Antu William Nyalau Badak.

Selain itu Dr Rayong memberitahu bahawa Nyalau merupakan calon boleh menang sekiranya dicalonkan semula untuk mempertahankan kerusi Parlimen Lubok Antu pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).

“SUPP akan menyokong Nyalau pada pilihan raya nanti.

“Jadi saya berharap agar rakyat memberi sokongan penuh terhadapnya bagi mempertahankan kerusi Parlimen Lubok Antu pada pilihan raya nanti,” katanya.

Dr Rayong dalam majlis itu memperuntukkan geran projek kecil luar bandar (MRP) RM15,000 untuk Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Rumpang dan RM5,000 untuk biro wanitanya.