Sarawak catat kejayaan dalam Showcase SDSI

0

KUCHING: Sarawak telah mencatat beberapa kejayaan dalam Showcase SDSI (Satu Daerah Satu Industri) Peringkat Nasional 2011, yang telah diadakan di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh Melaka baru-baru ini.

Antara kejayaan yang dikecapi termasuk peningkatan rekod jualan keseluruhan sebanyak RM86,110 berbanding hanya RM30,000 pada 2010.

“Di samping itu, Sarawak juga mengekalkan kejuaraan Pavilion terbaik buat kali kedua berturut-turut, yang kali ini berkonsepkan reka bentuk rumah panjang.

“Manakala bagi pencapaian keseluruhan bagi program SDSI, Sarawak mencatatkan rekod jualan sebanyak RM3.8 juta,” menurut kenyataan yang dikeluarkan di sini, semalam.

Pada Showcase SDSI anjuran Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) itu, Sarawak melalui Unit Pembangunan Usahawan Bumiputera (UPUB) menghantar kira-kira 20 peserta daripada Jabatan Ketua Menteri dengan kerjasama beberapa agensi seperti Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC), Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Jabatan Pertanian, Kementerian Pelancongan Sarawak, Rumah Sarawak Kuala Lumpur, Perbadanan Kraftangan, Pejabat Pembangunan Negeri (SDO), Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA), dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).

Antara produk usahawan Sarawak yang menyertai program ini adalah kek lapis, makanan berasaskan sagu seperti tebaloi, sagu kombo, produk kesihatan berasaskan herba, gula apong (nipah), produk makanan berasaskan ikan keli, sesar unjur, ikan tahai, mi kolok, laksa Sarawak, ayam pansoh, kraf tangan seramik, inap desa, fabrik batik Sarawak dan banyak lagi.

Showcase SDSI Peringkat Nasional 2011 kali keenam dari 9 hingga 11 Disember itu  merupakan program ekspo terbesar anjuran MITI.

Antara pengisian program ialah pameran dan jualan, seminar keusahawanan, klinik usahawan yang menyediakan khidmat nasihat perniagaan kepada usahawan, padanan perniagaan antara usahawan dengan pembeli perdagangan dari dalam dan luar negara, promosi dan jualan makanan popular setiap negeri atau menu Malaysia.