Tuesday, November 12

Disiplin dan tegas didik anak

0

PENUH TERTIB: Jamilah (dua kiri) menyerahkan sijil kepada penerima sijil taska yang telah tamat pengajian semalam.

KUCHING: Disiplin dan ketegasan perlu diamalkan ibu bapa dalam usaha mendidik anak-anak menjadi modal insan berguna yang berjaya.

Penaung Taska dan Tadika Yayasanku Sayang Puan Sri Jamilah Anu semalam memetik hadis Nabi Muhammad SAW yang menyatakan bahawa anak berumur 10 tahun yang tidak menunaikan solat wajib dipukul.

“Cara menunjuk kasih sayang untuk mendidik anak-anak bukan sekadar belaian, senyuman atau kata-kata nasihat malah hukuman boleh dilaksanakan tanpa mendatangkan kemudaratan dan penderaan jika mereka berbuat salah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan  Majlis Konvokesyen Taska dan Tadika Yayasanku Sayang di sini semalam.

Beliau turut menyatakan kekecewaannya terhadap ibu bapa yang terlalu membela dan memanjakan anak kerana dikhuatiri akan menjadikan anak lebih bermasalah.

“Anak-anak akan menjadi terlalu bergantung kepada ibu bapa atau menjadi besar kepala apabila sentiasa dilindungi oleh ibu bapa.

“Jangan kita terlalu mempercayai kata-kata anak sebaliknya selidik dahulu sebelum terima bulat-bulat,” katanya.

Sehubungan itu, Jamilah menggesa ibu bapa agar tidak mengamalkan sikap lepas tangan dalam soal mendidik dan mendisiplinkan anak-anak kepada golongan pendidik.

Beliau menyokong ibu bapa yang sentiasa memberi dorongan dan galakan kepada anak-anak mereka agar mereka lebih berkeyakinan.

Sementara itu, semalam adalah genap setahun Taska dan Tadika Yayasanku Sayang ditubuhkan untuk menjaga kebajikan anak-anak warga kerja Yayasan Sarawak.

Sehubungan itu, Jamilah mengucapkan tahniah kepada guru yang bertungkus-lumus mengajar 33 kanak-kanak yang layak menerima sijil pengajian.

Terdahulu beliau berkata, penyelidikan neurosains mengkaji otak kanak-kanak mengakui pembentukan kecerdasan bermula dari sejak kanak-kanak lahir.

“Otak bayi yang baru dilahirkan mengandungi 100 bilion sel otak, dalam masa tiga tahun pertama otak kanak-kanak aktif membina sinaps yang banyak, apabila lebih banyak sinaps terbentuk lebih banyak hubungan berlaku dalam minda kanak-kanak.

“Hubungan sinaps ini akan meningkat jika kanak-kanak terus dirangsang dan didedahkan kepada pengalaman pembelajaran yang banyak.

“Oleh yang demikian adalah penting ibu dan bapa terlibat secara aktif dan berterusan dalam pendidikan anak-anak sejak awal lagi, katanya.

Jamilah menyokong lebih banyak pertubuhan kerajaan menubuhkan taska dan tadika di tempat kerja mereka.

Turut hadir Pengarah Yayasan Sarawak Mohamad Abu Bakar Marzuki.