Laporan sosial juruwang curi wang majikan diketahui 29 Dis

0

MIRI: Mahkamah Majistret pagi semalam menangguhkan sehingga 29 Disember ini untuk mendengar laporan sosial dan seterusnya menjatuhkan hukuman ke atas seorang juruwang sebuah pasar raya di sini yang mengaku bersalah mencuri wang tunai milik majikannya.

Manakala tertuduh dibenarkan dibebas dengan ikat jamin RM500 berserta seorang penjamin tempatan sementara menunggu tarikh tersebut.

Penangguhan itu dibuat Penolong Kanan Pendaftar Mohamad Redza Azhar Rezali setelah membenarkan permohonan yang dikemukakan Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd Khairi Mohd Noor.

Dalam permohonannya, Khairi memberitahu laporan sosial tertuduh masih belum disiapkan, justeru beliau memohon ditetapkan satu tarikh baharu untuk mendengar laporan tersebut.

Hillary Tait Refael, 18, dari Jalan Point Setia, Lutong Baru di sini telah didakwa mengikut Seksyen 381 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan pertuduhan kes, tertuduh didapati telah mencuri wang tunai RM100 kepunyaan majikannya.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 11 malam, 5 Disember lalu di kaunter No.1, Giant Hypermarket Permymall, Permyjaya di sini.