10 tahun tunggu surat pelantikan dan elaun

0

25 tuai rumah dari Ngemah, Kanowit memohon supaya kerajaan BN segera menyelesaikan masalah berkenaan

SIBU: Beberapa tuai rumah dari Ngemah, Kanowit memohon kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) agar memberikan segera surat pelantikan sebagai tuai rumah kepada mereka.

Mereka juga merayu kepada kerajaan agar memberi elaun bulanan sebanyak RM400, yang menurut mereka tidak diterima sejak 10 tahun lepas.

Di samping itu, mereka juga mahu kerajaan memberi faedah dan hak yang sama seperti tuai-tuai rumah yang lain di negeri ini.

“Kami membuat permohonan ini dengan kadar segera dan diharap kerajaan BN dapat mempertimbangkannya,” ujar Tuai Rumah Beji Angai pada satu sidang media di pejabat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Bahagian Lanang, semalam.

Selain Beji, turut hadir ialah Tuai Rumah Abas Bakong, Tuai Rumah Luta Panyan dan Tuai Rumah Seliman Jantang, kesemuanya dari Ngemah. Hadir sama ialah Pengerusi PKR Lanang George Chen.

Beji yang bercakap mewa-kili 25 tuai rumah lain yang masih belum menerima surat pelantikan memberitahu, mereka telah beberapa kali menulis surat kepada pihak yang berkenaan berhubung surat pelantikan dan elaun bulanan.

“Namun semua permohonan kami tidak berhasil dan kami tidak mempunyai pilihan lain selain mendapatkan bantuan pihak pembangkang bagi menyua-rakan permohonan ini,” jelas beliau.

Beji yang juga merupakan Setiausaha Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Kanowit berkata, beliau telah membawa perkara sama kepada PBB Kanowit namun gagal mendapat bantuan yang sewajarnya.

“Kami tidak dapat me-nunggu lagi memandangkan lebih 10 tahun kami telah menunggu surat pelantikan dan elaun bulanan,” kata-nya sambil memberitahu mengikut Adat Iban jelas menyatakan rumah panjang yang mempunyai lebih 10 pintu, tuai rumah terbabit layak menerima elaun bulanan sebanyak RM400.

Menurut beliau lagi, sebagai tuai mereka dipilih oleh penduduk rumah panjang dan atas sebab itu ke-rajaan harus menghormati keputusan penduduk rumah panjang.

Seperti tuai rumah lain katanya, mereka juga diminta oleh penduduk untuk mengesahkan dokumen penting, di samping menjaga kebajikan penduduk rumah panjang.

“Oleh itu kami berharap pengorbanan kami selama ini diberi sedikit penghargaan,” tambah Beji.