Empat calon ganti Dr Tiki

0

Salah seorang calon akan diletakkan di Parlimen Mas Gading

KUCHING: SPDP mempunyai empat calon boleh menang bagi menggantikan Ahli Parlimen Mas Gading Datuk Dr Tiki Lafe yang sudah diumumkan presiden parti Tan Sri William Mawan Ikom tidak akan dicalonkan semula pada Pilihan Raya Umum Ke-13(PRU13)kelak.

Mawan berkata parti akan memilih yang terbaik di kalangan mereka.

“Pemilihan (calon) akan dibuat oleh parti dengan mengambil kira pandangan parti komponen lain dalam Barisan Nasional (BN).

“Kami tidak boleh menyarankan calon tanpa mengambil kira pandangan pihak lain,” katanya dalam satu sidang media di pejabatnya di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai laporan akhbar semalam, apabila Dr Tiki menegaskan bahawa beliau akan mempertahankan kerusi itu dengan atau tanpa restu daripada SPDP.

Pada 25 November lalu, selain mengumumkan pemecatan bekas Naib Presidennya Datuk Sylvester Entri Muran, Mawan turut mengumumkan tidak akan mencalonkan semula Dr Tiki mempertahankan kerusi itu.

“Kita bercakap mengenai calon boleh menang tetapi kita juga perlu bercakap mengenai calon boleh menang yang sesuai dan sewajarnya.

“Beliau (Dr Tiki) mungkin boleh menang tetapi beliau ‘menghuru-harakan’ keadaan dalam organisasi parti… menjadi ahli BN atau SPDP perlu berdisiplin,” tegas Menteri Pembangunan Sosial itu sambil menambah jika tidak ada disiplin bagaimana untuk menjangkakan BN boleh percaya kepada calon.

Mawan turut menyifatkan kenyataan dibuat oleh Dr Tiki dalam akhbar bukan mewakili pendirian parti tetapi ia kenyataan pihak beliau sendiri.

Berhubung keyakinan parti untuk memenangi semua empat kerusi Parlimen mereka pada PRU akan datang, Mawan berkata:

“Ya (yakin menang) dengan kerjasama parti komponen Barisan Nasional lain… melainkan jika ada sabotaj antara satu sama lain.”

Malahan kini ujar beliau, jentera parti telah bergerak sepenuhnya di lapangan.

SPDP mempunyai empat kerusi Parlimen yang diperuntukkan iaitu Parlimen Mas Gading, Saratok (Jelaing Mersat), Baram (Datuk Jacob Dungau Sagan) dan Bintulu (Datuk Seri Tiong King Sing).