Masing berkecuali dalam masalah SPDP

0

JAMES MASING

KUCHING: Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) Tan Sri James Masing berkata beliau lebih memilih untuk bersikap berkecuali dalam setiap isu yang berkaitan dengan masalah dalaman Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP).

Beliau percaya pemimpin serta ahli dalam parti itu cukup matang dan bijak menyelesaikan masalah dalaman dialami parti komponen Barisan Nasional (BN) itu.

“Itu masalah orang lain, saya tidak akan campur tangan. Sebagai parti komponen BN memang kami mengambil berat agar masalah ini dapat ditangani dan mereka tidak akan menyertai pembangkang,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada majlis pelancaran Krismas 2011 di Persatuan Autisme Kuching (KAA), semalam.

Masing yang juga Menteri Kanan berkata demikian apabila diminta mengulas kenyataan Ahli Parlimen Mas Gading Datuk Dr Tiki Lafe yang memberitahu, akan mempertahankan kerusi itu pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) walaupun presiden parti sebelum ini menyatakan beliau tidak akan dicalonkan semula.

Dr Tiki yang dilucutkan jawatan sebagai Naib Presiden SPDP pada 25 November lalu dalam satu pengumuman dibuat Presiden SPDP Tan Sri William Mawan Ikom, berkata beliau telah dilantik sebagai pengerusi jawatankuasa penyelaras oleh Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) di konstituensi itu.

Dr Tiki berkata ahli BN yang berpotensi melobi pencalonan pada PRU Ke-13  perlu melupakan hasrat itu kerana beliau masih lagi wakil rakyat BN di situ.

Mengenai persiapan PRS menghadapi PRU13, Masing yang juga Menteri Kemajuan Tanah berkata: “Kami sudah bersedia, selanjutnya saya tidak boleh beritahu… pemilihan calon, belum, masih awal,” katanya.