Tindakan tegas menanti empat ahli SPDP 5

0

MAWAN

KUCHING: Empat anggota SPDP 5 yang juga bekas pemimpin parti tersebut bakal berhadapan dengan tindakan disiplin dan lebih teruk lagi, termasuk akan dipecat daripada parti.

Presiden SPDP Tan Sri William Mawan Ikom berkata, bekas Naib Presiden Kanan Datuk Peter Nansian Ngusie, bekas Naib Presiden Datuk Dr Tiki Lafe, bekas Ketua Penerangan Paulus Palu Gumbang dan Ahli Majlis Tertinggi Rosey Yunus telah diberikan surat tunjuk sebab.

Menurut beliau, mereka terbabit diberi tempoh 30 hari dari tarikh surat dikeluarkan untuk menjawab.

Difahamkan surat itu diberi pada hujung November lepas.

“Mereka (empat SPDP) yang telah menerima surat tunjuk sebab perlu menjawab dan memberi penjelasan dalam tempoh sebulan.  Surat tunjuk sebab ini bukan satu hukuman tetapi satu proses.

“Ini satu proses umum di mana kita perlu merujuk kepada jawatankuasa disiplin dan tidak ada parti politik yang tidak ada mekanisme serta sistem yang perlu dipatuhi,” katanya dalam sidang media di pejabatnya di sini, semalam.

Pada 25 November, bekas Naib Presidennya Datuk Sylvester Entri Muran  dipecat daripada parti.

Sementara itu, Mawan yang juga Menteri Pembangunan Sosial berkata, pihaknya belum menerima sebarang surat peletakan jawatan daripada mereka yang berkenaan.

Menurut beliau, pihaknya sentiasa mengalu-alukan mereka berempat untuk kembali bekerjasama dengan pemimpin parti yang lain.

“Saya sudah banyak kali menyatakan secara terbuka bahawa kami masih membuka ruang kepada mereka dan proses untuk memberi ruang itu masih berjalan.

“Terpulang kepada mereka untuk mengambil peluang itu. Kami akan menghentikan proses berkenaan jika perlu,” tegas beliau.