Yong mohon pihak berkuasa siasat semula nahas

0

BINCANG ...Yong (kanan) dan Simon (kiri) berbincang di luar mahkamah.

KOTA KINABALU: Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Datuk Yong Teck Lee, 53, menyatakan beliau memohon kepada pihak berkuasa berkaitan untuk membuka dan menyiasat semula tragedi kejadian 6 Jun 1976.

Beliau yang merupakan bekas graduan dari LBB Universiti London, London School of Economic and Political Science berkata demikian di hadapan Hakim Datuk Abdul Rahman Sebli dalam kenyataannya di Mahkamah Tinggi di sini kelmarin.

Plaintif, Tan Sri Harris Salleh yang diwakili peguam Yunof Maringking dan Trevor Maringkong, memfailkan saman fitnah sebanyak RM50 juta terhadap defendan pertama Yong dan kedua SAPP, kerana mengaitkan dirinya dalam tragedi pesawat Nomad.

“Ia telah diketahui rakyat Sabah, bahawa laporan rasmi siasatan dan punca kemalangan udara itu tidak pernah dinyatakan kepada orang awam. Ini menimbulkan banyak soalan apakah punca sebenar kejadian itu.

“Bukan saya saja yang menimbulkan isu ini. Ramai orang antaranya Datuk Jeffery dan Ronnie Klassen berpendapat, tragedi itu harus disiasat semula,” katanya dan menjelaskan dalam kenyataan akhbar, beliau tidak merujuk kepada Haris.

Dalam laporan akhbar, beliau mengulas mengenai kenyataan Tengku Razaleigh bahawa kerajaan yang diterajui di bawah pimpinan Usno oleh Tun Mustapha pada tahun 1975, enggan menandatangani perjanjian petroleum atas beberapa isu dalam Persekutuan Malaysia.

“Saya menerangkan, bahawa biasanya wajar untuk menyiasat semula kejadian itu jika terdapat maklumat baru.

“Mungkin juga perkara baru akan diperolehi atau sesuatu yang ‘meletup’ dari sejarah,” katanya.

Yong menjelaskan, beliau dan plaintif mempunyai perbezaan politik tapi dia tidak pernah membuat apa-apa kenyataan yang tidak menghormati plaintif.

Oleh itu, beliau hanya membuat komen yang adil dalam ulasan ceramah yang disampaikan oleh Tengku Razaleigh, pada 2 April 2010 di KDCA, yang disiarkan dalam satu akhbar tempatan.

“Tengku Razaleigh membuat kenyataan itu, bahawa dia dan dua penumpang yang berada di dalam kapal terbang meninggalkan kapal itu selepas dijemput oleh plaintif ke Pulau Banggi dengan menaiki kapal lain. Bukan saya yang membuat kenyataan itu.

“Mengulas kenyataan itu, saya katakan tiada siapa yang benar-benar tahu punca tragedi itu. Saya katakan, satu siasatan harus dilakukan agar orang ramai tahu punca sebenar,” katanya.

Beliau mengajukan beberapa teori kemalangan itu. Katanya, sesetengah mengatakan, ia adalah disebabkan sabotaj, lebihan berat dan kelemahan kapal itu.

“Namun, tiada laporan rasmi yang dikeluarkan,” katanya dan menambah, teori-teori ini dibincangkan dalam beberapa buku antaranya “The Sabahan – Life and Death of Tun Fuad Stephen” dan “The Harris Salleh of Sabah.”

Jelasnya, dia dan partinya hanya melaksanakan kebebasan bersuara seperti yang dijamin dalam Perlembangan Persekutuan untuk menyiasat semula kes itu seperti yang didedahkan oleh Tengku Razaleigh.

Dia memberitahu mahkamah, sekiranya orang awam memohon siasatan semula dijalankan, terdapat saksi yang akan dipanggil memberikan keterangan.

Terdahulu, pada awal prosiding, Yong memberitahu mahkamah dia pernah melakukan temujanji dengan Tengku Razaleigh di Kuala Lumpur pada 14 November dan 8 Disember tahun ini.

Mesyuarat pertama, mereka membincangkan mengenai ucapan Tengku Razaleigh dan laporan akhbar yang disiarkan berhubung hal itu kerana ulasannya terhadap ucapan itu, kini beliau telah disaman oleh plaintif.

Perbincangan kedua, Yong memaklumkan Tengku Razaleigh, bahawa perbicaraan fitnah terhadapnya telah bermula dan mahu dia menjadi saksi pembelaan.

“Namun dia (Tengku Razaleigh) enggan, dan menyatakan dia sibuk,” katanya dan Tengku Razalegih mengesahkan ucapannya di dalam forum itu pada 2 April 2010.

Sementara dalam pemeriksaan balas oleh Trevor Maringking, Yong memberitahu kejadian pada 6 Jun 1976 dalam ucapan Tengku Razaleigh adalah lebih daripada royalti minyak.

Menjawab soalan daripada Trevor, beliau menegaskan, terdapat banyak kemungkinan atau sebab bagaimana nahas udara itu harus disiasat semula.

Sebelum prosiding bermula, Datuk Simon Shim mewakili defendan, memaklumkan mahkamah, sepina telah diserahkan kepada Tengku Razaleigh pada 8 Disember tahun ini, tapi menunjukkan dia tidak berminat untuk memberi keterangan.

Untuk itu, pihak pembelaan akan memutuskan pada akhir keterangan Yong, sama ada akan melaksanakan sepina untuk waran tangkap terhadap saksi sepina terbabit.