Paras air di Kanowit semakin meningkat

0

TERJEJAS: Wan Mohd membuat tinjauan ke kawasan yang dinaiki air di pekan Machan, semalam.

KANOWIT: Jawatankuasa Banjir Daerah Kanowit mengingatkan orang ramai terutama penduduk yang tinggal di kawasan tebing sungai supaya sentiasa berada dalam keadaan berjaga-jaga ekoran paras air yang semakin meningkat dan membimbangkan.

Pegawai Penerangan Daerah Kanowit Wan Mohd Zuki berkata, setakat ini antara kawasan yang telah dikenal pasti terjejas dinaiki air sedalam 0.5 hingga 1 meter ialah kawasan perkampungan serta rumah panjang yang terletak di tebing Sungai Machan dan pekan Machan.

“Kami telah mengenal pasti kawasan perkampungan serta sebuah rumah panjang iaitu Rumah Pawa yang terletak di Nanga Matau dan pekan Machan dinaiki air setakat ini.

“Bagaimanapun, sehingga kini belum ada sebarang proses permindahan penduduk di semua kawasan yang terlibat dilakukan,” ujarnya kepada pemberita selepas mengadakan tinjauan ke kawasan yang telah dinaiki air di pekan Machan di sini, semalam.

Tinjauan tersebut turut disertai oleh Pegawai Daerah Kanowit Ibrahim Kipli serta yang lain.

Wan Mohd berkata, Jawa-tankuasa Banjir Daerah Kanowit telah bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan yang bakal berlaku ekoran peningkatan paras air yang semakin membimbangkan.

“Jawatankuasa Banjir Daerah Kanowit telah menjalankan operasi pemantau dari semasa ke semasa di semua kawasan yang terlibat bagi mendapatkan perkembangan terkini berhubung keadaan banjir di Kanowit.

“Sehubungan itu, Jawatan-kuasa Banjir Daerah Kanowit mengingatkan kepada orang ramai terutama penduduk yang tinggal di tepi sungai supaya sentiasa berada dalam keadaan berjaga-jaga demi untuk keselamatan bersama,” tegasnya.

Terdahulu, Ahli Parlimen Kanowit Datuk Aaron Ago Dagang turut meng-adakan tinjauan ke kawasan yang dinaiki air di pekan Machan.