MIRI: Semua penduduk di kawasan Telang Usan diminta dalam keadaan berjaga-jaga walaupun belum ada laporan banjir di kawasan berkenaan setakat ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan Dennis Ngau Jok berkata, ia tidak boleh dipandang remeh kerana keadaan cuaca yang tidak menentu pada masa ini.
“Diminta penduduk sentiasa dalam keadaan berjaga-jaga untuk menghadapi apa-apa sahaja kemungkinan,” katanya ketika dihubungi Utusan Borneo semalam.
Menurutnya, walaupun tidak berlaku dengan teruk seperti yang dilaporkan pada tahun lepas, ia bukanlah alasan bagi semua pihak untuk langsung tidak membuat apa-apa persediaan.
“Sesiapapun tidak minta (banjir) dan walaupun tinggi harapan supaya ia tidak akan berlaku, tapi janganlah terus lupa dan tidak buat sebarang persediaan, itu tidak boleh sama sekali,” jelasnya.
Kata beliau, agensi kerajaan berkaitan dan anggota-anggota Pasukan Tindak Balas Kecemasan Komuniti (Community Emergency Response Team – CERT ) turut harus meletakkan diri mereka dalam keadaan peka.
“Kami minta mana-mana pihak dan juga agensi-agensi kerajaan berkaitan supaya turut meletakkan diri dalam keadaan sentiasa bersiap sedia,” ujarnya.
Dennis turut difahamkan antara agensi kerajaan yang telah mula bersedia menghadapi kemungkinan banjir terutama di kawasan Telang Usan ialah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
“Saya dimaklumkan JKM telah mula menghantar bekalan makanan ke beberapa tempat di kawasan Telang Usan sebagai satu langkah persediaan menghadapi banjir,” kata Dennis.
Ia katanya, adalah salah satu contoh untuk menghadapi apa-apa kemungkinan terutama jika berdepan bencana dimaksudkan.