RELA Simpok mohon bot penyelamat bagi hadapi banjir kedua

0

PADAWAN: Ketua Perhu-bungan RELA Kawasan Simpok Francis Akok memohon bantuan bot penyelamat sebagai persediaan menghadapi banjir kali kedua menjelang 2 atau 3 Januari depan (2012).

Katanya, perkara itu telah dimaklumkan beliau kepada RELA negeri bagi memudahkan kerja-kerja memindahkan mangsa banjir yang tinggal bersebelahan Sungai Simpok ke bangunan Sekolah Kebangsaan (SK) St Peter Simpok, Padawan.

“Mereka yang tinggal berdekatan kawasan sekolah senang dipindahkan tetapi bagi mereka yang tinggal di kawasan seberang sungai agak sukar untuk dipindahkan.

“RELA ada menelefon saya dan menyuruh untuk sentiasa berjaga-jaga, tahun ini tidak seteruk apa yang pernah kami lalui pada 2009 dahulu kerana air naik melebihi 10 kaki,” katanya kepada pemberita.

Hujan mulai turun tanpa henti sejak 25 Disember dan air mulai memasuki rumah sekitar 26 Disember jam 10 pagi.

Bagaimanapun, sebilangan penduduk telah mula pulang ke rumah masing-masing sejak semalam.

Bantuan bekalan makanan cukup dan dihantar melalui Jalan Puncak Borneo-Sarig dan masih dalam proses penghantaran sehingga semalam.

Menurut pegawai Bilik Gerakan Banjir Majlis Ke-selamatan Negeri (MKN), sehingga 5 petang semalam seramai 1,610 mangsa melibatkan 322 keluarga dari kampung terbabit ditempatkan sejak 26 Disember.

Pada masa yang sama, Sandat Sair, mangsa banjir berkata, dia baru pulang ke rumah semalam dan sedang sibuk berkemas tetapi masih meninggalkan peralatan elektronik di bahagian atas rumah.

“Air naik setinggi tujuh kaki dan kami hanya menyambut Krismas untuk sehari sahaja dan terpaksa meninggalkan rumah dan tinggal di pe-nempatan banjir di sekolah,” katanya.

Dalam kes berlainan, beberapa kejadian tanah runtuh kecil berlaku di jalan Padawan lama menuju ke Kampung Simpok.

Sehingga semalam, belum ada kerja-kerja membersih-kan tanah runtuh dari atas jalan dilakukan tetapi pita amaran ada diletakkan.