Bersama realisasi masa depan

0

Kejayaan dapat dirangkul jika sanggup merancang, bekerja keras mencapainya: Najib

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semalam mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk ber-sama-sama dengan kerajaan bagi merealisasikan masa depan yang lebih baik untuk negara.

Najib berkata, kejayaan bagi negara bukanlah sekadar mimpi, sebaliknya akan dapat dirangkul sekiranya semua pihak sanggup merancang dengan teliti dan bekerja keras bagi mencapainya.

“Tidak ada yang mustahil jika kita mampu mengimpikannya, se-sungguhnya hari-hari yang terbaik kita masih berada di hadapan kita bukannya sudah tinggal dalam lipatan sejarah,” katanya dalam per-utusan Selamat Tahun Baru 2012 yang disiarkan dalam blog www.1Malaysia.com.my semalam.

Najib menyimpulkan bahawa 2011 merupakan tahun yang amat monumental kepada negara kerana ia telah menyaksikan lengkapnya ‘roll out’ inisiatif dasar kerajaan di bawah payung Dasar Transformasi Nasional (DTN) (2011-2020) dan pengenalan siri keempat Rangka Rancangan Jangka Panjang Negara (RRJP) sejak ia mula diperkenalkan pada 1971.

DTN yang merupakan komponen terakhir dalam usaha mereali-sasikan wawasan kebangsaan untuk menjadi sebuah negara maju berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020, bermula dengan pelancaran Program Transformasi Ke-rajaan (GTP) diikuti Program Transformasi Ekonomi (ETP) serta pelancaran Model Baru Ekonomi (MBE), Program Transformasi Politik (PTP)  dan Program Transformasi Luar Bandar (RTP).

“Kesemua inisiatif dasar ini bukanlah sekadar pengumuman kosong mahupun tidak berpijak di bumi yang nyata kerana jika dilaksanakan dengan betul dan mengikut jadual akan menyaksikan kemunculan sebuah Malaysia Baharu”.

Malaysia Baharu menurut Najib, merupakan sebuah negara yang bukan sahaja maju daripada segi ekonomi dengan kemakmuran yang dikongsi setiap strata dan segmen rakyat tetapi juga sebuah watan dengan tradisi demokrasi serta perbezaan pendapat yang membina dan membugar.

Perdana Menteri juga berkata, kerajaan tetap komited dengan program islah dan pembaharuan dalam semua bidang dan aspek kehidupan bernegara kerana inilah kehendak dan aspirasi rakyat yang mahukan kehidupan yang lebih baik untuk mereka dan anak-anak mereka.

“Inilah usaha demi generasi masa depan Malaysia yang berhak membesar dalam suasana harapan bukannya kemuraman. Kita tidak akan tunduk kepada tekanan mana-mana pihak yang mahu menggagalkan matlamat mulia ini,” katanya.

Bagaimanapun katanya, kerajaan percaya untuk membina sebuah Malaysia yang baharu, negara tidak boleh terus terperangkap dengan bebanan sejarah lampau.

Atas dasar itu kata Najib, di bawah PTP bagi mengimbangkan Keselamatan Kebangsaan dan Kebebasan Individu seperti yang terjamin dalam perlembagaan negara misalnya, kerajaan telah mengambil inisiatif untuk memansuhkan tiga proklamasi darurat yang berkuat kuasa sejak lebih empat dekad lalu.

Dengan semangat yang sama, kerajaan juga telah mengumumkan pemansuhan beberapa akta yang  berkaitan keselamatan dan ketenteraman awam seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri, Akta Kediaman Terhad, Akta Buang Negeri dan  Seksyen 27 Akta Polis yang telah digantikan dengan Akta Perhimpunan Aman 2011 yang menjamin kebebasan individu untuk berhimpun secara aman seperti yang diperuntukkan undang-undang tertinggi negara, Perlembagaan Persekutuan, katanya.

“Usaha ini akan diteruskan dalam sesi Parlimen seterusnya pada tahun 2012 bagi memansuhkan ISA dan membentang rang undang-undang baharu yang akan menggantikannya serta meminda AUKU (Akta Universiti dan Kolej Universiti) serta Akta Mesin Cetak dan Penerbitan,” katanya.

Beliau berkata, melalui Belanjawan 2012 yang baru diluluskan Parlimen, kerajaan hari ini juga telah meneruskan tradisi negara berkebajikan yang telah menjadi amalan kerajaan yang memerintah sejak merdeka lagi.

“Kita tidak pernah melupakan nasib warga luar bandar mahupun warga bandar, golongan berpendapatan rendah mahupun kelas pertengahan serta mereka yang berpendapatan tinggi, kita akan sentiasa membela untung nasib seluruh rakyat Malaysia dan akan terus prihatin terhadap denyut nadi dan aspirasi mereka,” katanya.     — Bernama