Musa mahu jentera pilihan raya BN beri penjelasan

0

KOTA KINABALU: Beri penjelasan kepada rakyat tentang kejayaan Barisan Nasional (BN) selama mentadbir negara, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman.

POTONG KEK...Musa (lima kiri) bersama Shahrizat (empat kiri), Armani (enam kiri) dan tetamu jemputan lain bersama-sama memotong kek sempena majlis itu.

Beliau yang juga Pengerusi Perhubungan BN negeri menggesa kepada semua jentera pilihan raya BN agar memberi pemahaman kepada rakyat mengenai rekod kejayaan yang dicipta BN.

Ini kerana pemahaman berkenaan mampu meyakinkan rakyat untuk menolak pembangkang dalam pilihan raya umum (PRU) ke-13 akan datang.

“Menjadi tanggungjawab kita untuk menjelaskan kepada semua pengundi mengenai program dan dasar BN kerana inilah kerajaan yang prihatin terhadap kebajikan rakyat.

“Kita lihat sejak Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak menjadi Perdana Menteri, banyak usaha dan pembangunan dilaksanakan untuk rakyat,” katanya.

Jelasnya, ia termasuklah penghapusan yuran sekolah, pemberian RM100 kepada pelajar sekolah dan pemberian RM500 kepada keluarga berpendapatan di bawah RM3,000 sebulan.

Beliau berkata demikian pada Majlis Silaturrahim dan Makan Malam Wanita Penjalin Perpaduan anjuran Wanita Umno Sabah di sini malam Jumaat lepas.

Musa berkata, BN bukan gabungan parti yang suka berbohong dan menabur janji kosong kepada rakyat seperti yang sering dilakukan oleh pembangkang sehingga rakyat menderita.

“Rakyat harus jelas dengan usaha dan keikhlasan BN dalam membela nasib mereka supaya tidak mudah terperdaya dengan khabar angin dan janji pembangkang yang hilang hala tuju,” katanya.

Beliau berkata, selain menjelaskan kepada rakyat mengenai kejayaan BN, jentera pilhan raya BN juga diminta bersatu padu dan bekerja sebagai satu pasukan bagi memastikan kemenangan semua calon BN pada PRU13 akan datang.

Terdahulu, Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, berkata anggota BN harus memberi sokongan kepada Perdana Menteri dalam pilihan raya akan datang dengan menggerakkan semua jentera pilihan raya untuk membantu dan menyokong semua calon BN.

“PRU13 bukan sebarang pilihan raya…ia adalah sebuah peperangan dan kita mestilah memberi sokongan kepada Datuk Seri Najib sebagai ketua komander dalam peperangan ini,” katanya.

Dalam majlis turut diraikan empat mantan Ketua-ketua wanita Umno Sabah iaitu Datin Aminah Ambrose, Allahyarhamah Datuk Norjan Khan Bahadar yang diwakli oleh anaknya Fauziah Mohd Ali, Datuk Azizah Mohd Dun dan Datuk Dayang Mahani Rafaee.

Turut hadir, Ketua Wanita Umno Sabah, Datuk Armani Mahiruddin; Pengerusi Pelaksana, Zaiton Anik dan ketua-ketua Wanita Umno seluruh Sabah.