Isu Riot sedia lepas jawatan dalam SUPP tidak relevan, kata Dr Jerip

0

KUCHING: Isu Timbalan Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Datuk Richard Riot Jaem sedia melepaskan jawatannya, menurut ADUN Bengoh Dr Jerip Susil adalah tidak relevan sama sekali.

“Melepaskan jawatan adalah tidak relevan memandangkan bahawa kumpulan yang diketuai oleh Datuk Seri Peter Chin tidak pernah mempunyai keinginan untuk memasukkan sesiapa daripada kumpulan Dato Sri Wong Soon Koh bagi memegang apa-apa jawatan kanan dalam parti dari awal-awal lagi.

“Ini sangat jelas apabila pemimpin-pemimpin parti memutuskan untuk membatalkan mesyuarat agung tri- tahunan pelbagai cawangan sehingga Persidangan Perwakilan Tritahunan (TDC).

“Semua ini adalah petanda bahawa niat mereka adalah untuk tidak menyertakan penyokong Dato Sri Wong daripada menghadiri TDC, “ katanya yang menyuarakan pandangan terhadap kenyataan Riot bahawa beliau tidak ragu-ragu melepaskan jawatannya demi kepentingan parti.

Dr Jerip yang juga Menteri Muda Kesihatan Awam berkata, melepaskan jawatan juga tidak relevan kerana pemegang jawatan yang kononnya dipilih semasa TDC parti baru-baru ini tidak diiktiraf oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS).

“Hasil siasatan ROS berhubung aduan yang dibuat oleh cawangan parti mengenai penyelewengan masih belum diketahui, maka pemilihan penyandang jawatan dalam TDC baru-baru ini juga masih belum rasmi,” tegas beliau.

Jelas Dr Jerip lagi, hasrat Riot itu adalah mulia bagi mendamaikan kumpulan dalam parti yang bertelagah namun ia tidak dalam keadaan yang sesuai.
Menurut beliau, krisis semasa dalam SUPP dapat dielakkan jika pemimpinnya melihat terhadap aduan mengenai penyelewengan pilihan raya di beberapa cawangan parti sebelum TDC baru-baru ini.

“Apa yang mereka (pemimpin parti) perlu lakukan pada masa itu adalah membenarkan Perkara 9 dalam perlembagaan parti untuk mengambil proses dan menyelesaikan masalah.

“Malangnya, mereka gagal menggunakan mekanisme yang ada dalam parti dan sebaliknya lebih suka membiarkan ROS menangani masalah, “ katanya.