Kementerian Kesihatan diminta perjelas cadangan Akta Perubatan Tradisional dan Komplementari

0

SHAH ALAM: Persatuan Perubatan Komplementari Malaysia (MSCM) menggesa Kementerian Kesihatan memberi penjelasan cadangan Akta Perubatan Tradisional dan Komplementari (TCM) bagi memastikan ia benar-benar memberi manfaat kepada lebih 15,000 pengamal di negara ini.

Presiden persatuan itu Lee Chee Pheng berkata, banyak pengamal telah menyuarakan kebimbangan berhubung kesamaran akta itu, menyatakan ia tidak sepatutnya menyekat atau melemahkan TCM sebagai perubatan alternatif.

“Pengamal mahu tahu sama ada peraturan spesifik akan diwujudkan untuk memastikan TCM kekal kompetitif. Siapa yang akan mengajar dan melatih pengamal baharu atau memutuskan ubat yang mempunyai nilai saintifik atau tidak?

“Isu ini perlu ditangani dalam akta itu dan perlu diberi penjelasan secara berterusan kepada pihak yang relevan sebelum dikuatkuasakan,” katanya kepada Bernama.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, kementerian telah menghantar Rang Undang-undang TCM kepada Peguam Negara dan berharap untuk membentangkannya di Parlimen awal tahun ini.

Objektif utama akta ini ialah menyediakan garis panduan untuk pengawalan lebih baik amalan TCM di Malaysia. Sebaik dilaksanakan, semua pengamal TCM perlu berdaftar dengan kementerian sebelum boleh menawarkan perkhidmatan mereka.

Lee berkata, kerajaan tidak boleh menangguhkan penguatkuasaan Akta TCM kerana ia perlu untuk memberi keyakinan kepada orang ramai mengenai perubatan tradisional.

Katanya kementerian sepatutnya membantu pengamal mendokumentasikan amalan mereka sebelum akta itu dikuatkuasakan.

Lee menegaskan organisasi sesuai diperlukan dalam TCM kerana ia melibatkan pandangan, amalan dan kepercayaan berbeza.

“Ini bagi memastikan mana-mana peraturan dan garis panduan yang ditetapkan tidak akan dilihat sebagai membebankan pengamal,” katanya.

Lee berkata, kerajaan perlu mengkaji untuk mewujudkan pusat penyelidikan perubatan tradisional India dengan kerjasama badan-badan tempatan dan asing, serta juga kemudahan bagi perubatan tradisional Cina.

Beliau berkata, kerajaan telah menerima TCM sebagai alternatif kepada perubatan konvensional, dengan lebih 17 hospital di Malaysia dilengkapi kemudahan dan pengamal TCM.

Lee yang juga pengerusi Majlis Antarabangsa, Saintifik dan Penyelidikan Bagi Perubatan Komplementari, juga berkata beliau sedang berusaha menubuhkan ibu pejabat majlis di Malaysia tahun ini. — Bernama