Tindakan mahasiswa UPSI memalukan

0

KGBS berasa amat terkilan atas tindakan mahasiswa UPSI yang terlibat dalam kumpulan SMM

AHMAD

KUCHING: Kesatuan Guru Bumiputera Sarawak (KGBS) menyifatkan tindakan beberapa mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang terlibat dalam kumpulan Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) sebagai sesuatu yang memalukan profesion perguruan.

Menurut Presidennya Ahmad Malie, KGBS berasa amat terkilan atas tindakan mahasiswa UPSI yang terlibat dalam kumpulan tersebut yang boleh menggugat reputasi perguruan di negara ini.

“KGBS berasa terkilan dan kesal atas tindakan mahasiswa UPSI semalam, apatah lagi mereka merupakan bakal golongan pendidik setelah tamat pengajian kelak.

“Justeru kami mengharap-kan agar mahasiswa berke-naan perlu lebih rasional dalam melakukan tindakan dan bukannya bertindak mengikut perasaan kerana tindakan sedemikianlah yang akan mencerminkan watak seseorang guru pada masa depan,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perkara tersebut semalam.

Selain itu, beliau turut menasihati mahasiswa agar tidak terpengaruh dengan mana-mana pihak yang mempunyai kepentingan sendiri.

“UPSI adalah sebuah tempat yang akan menghasilkan bakal pendidik di negara ini dan saya percaya mereka yang menuntut di sana adalah di kalangan yang berfikiran rasional.

“Oleh itu, KGBS amat mengharapkan agar semua mahasiswa tidak akan terpengaruh dengan mana-mana pihak yang mempunyai kepentingan,” katanya.

Sementara itu Bernama melaporkan pada awal pagi 1 Januari lalu kira-kira 70 penuntut beberapa universiti berhimpun di pekarangan UPSI selepas sambutan ambang Tahun Baharu bagi menuntut pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971.

Selain itu, mereka mendesak supaya penuntut UPSI Adam Adli, yang menurunkan bendera wajah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Ibu Pejabat UMNO sewaktu demonstrasi 17 Disember lepas, agar tidak dikenakan tindakan tatatertib oleh universiti berkenaan.

Bernama turut melaporkan polis menahan 17 penuntut berusia antara 19 hingga 24 tahun yang disiasat mengikut Seksyen 186, 145 dan 147 Kanun Keseksaan serta Seksyen 27 (5) Akta Polis namun dibebaskan petang 1 Januari setelah diambil keterangan.