449,475 murid Tahun Satu mulakan sesi persekolahan 2012

0

KUALA LUMPUR: Penggal pertama sesi persekolahan 2012 menyaksikan 449,475 murid melangkah ke Tahun Satu termasuk 81,842 di Kelantan, Terengganu dan Kedah yang memulakan sesi persekolahan kelmarin.

Menurut perangkaan Kementerian Pelajaran, bilangan pelajar yang memulakan Tingkatan Satu pula berjumlah 437,519.

Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Seri Abdul Ghafar Mahmud berkata, Selangor mencatat kemasukan tertinggi murid Tahun Satu dan pelajar Tingkatan Satu iaitu masing-masing 85,894 dan 77,495.

Ia diikuti Johor dengan 54,250 murid Tahun Satu dan 52,101 pelajar Tingkatan Satu.

“Kemasukan murid ke sesi persekolahan 2012 berjalan lancar kecuali di beberapa negeri yang dilanda banjir,” katanya ketika dihubungi Bernama semalam.

Pecahan bilangan murid Tahun Satu untuk negeri-negeri lain ialah Sabah, 44,342; Sarawak, 42,005; Perak, 35,004; Kedah, 32,068; Kelantan, 29,476; Pahang, 24,314; Pulau Pinang, 22,730; Kuala Lumpur, 22,037; Terengganu, 20,298; Negeri Sembilan, 16,952; Melaka, 13,436; Perlis, 3,669; Putrajaya, 1,669 dan Labuan, 1,331.

Bagi Tingkatan Satu pula, Sarawak mencatat 40,334 pelajar; Sabah,  39,918; Perak, 39,565; Kedah, 34,202; Kelantan, 28,487; Pulau Pinang, 22,667; Pahang, 22,458; Terengganu, 21,871; Kuala Lumpur, 20,209; Negeri Sembilan, 17,807; Melaka, 13,736; Perlis, 4,224; Putrajaya, 1,264 dan Labuan, 1,181.

Sesi persekolahan di beberapa sekolah di Tumpat, Gua Musang dan Pasir Mas, Kelantan terganggu akibat banjir melibatkan lebih 2,000 pelajar.

Abdul Ghafar berterima kasih kepada pihak sekolah yang bersungguh-sungguh dalam memastikan kelancaran kemasukan pelajar untuk sesi 2012. — Bernama