Pasangan warga emas dirompak empat lelaki

0

ALOR SETAR: Sepasang suami isteri warga emas kerugian wang tunai, barang kemas serta telefon bimbit yang berjumlah RM48,000 setelah dirompak empat lelaki bertopeng dan bersenjata parang di rumah mereka di Kampung Permatang Buloh, Yan, dekat sini awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi semalam, Shuid Ahmad, 66, bersama isterinya Maimunah Lat, 61, diikat pada bahagian kaki dan tangan dan mulut disumbat dengan kain.

Shuid berkata dia dan isteri, yang berjaya membuka ikatan itu setelah empat perompak itu melarikan diri, telah pergi ke rumah jiran untuk meminta pertolongan.

“Pada masa itu jam 4.45 pagi dan saya pun periksa dari mana penyamun itu masuk ke rumah dan dapati pintu belakang rumah telah dipecahkan,” katanya.

Ketua Polis Daerah Yan DSP Ismail Abu ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu. — Bernama