Preach Khan Reach teruja sertai Piala FA

0

KUALA LUMPUR: Kelab dari Kemboja, Preach Khan Reach FC yang buat pertama kali akan menyertai Piala FA musim ini menyifatkan penyertaan mereka sebagai permulaan penting.

“Piala FA Malaysia merupakan langkah penting bagi kami dan hampir 200 pemain dan staf kami. Impian saya ialah untuk melihat imej yang lebih baik buat bola sepak Kemboja sama ada di peringkat kebangsaan dan antarabangsa,” kata pengerusi kelab tersebut, Ly Kimchhun yang dipetik dalam laman web Persekutuan Bola Sepak Asean.

Preach Khan Reach yang merupakan Juara Piala FA di Kemboja (Hun Sen Cup) tahun lalu dijemput menyertai kejohanan Piala FA Malaysia bagi menggantikan tempat Harimau Muda B.

Sebuah lagi pasukan luar yang bakal beraksi dalam Liga Malaysia tahun ini ialah Lions XII dari Singapura.

Mengikut jadual, kelab Kemboja itu akan menentang Pulau Pinang pada 18 Februari dalam aksi pertama mereka di Stadium Nasional Bukit Jalil, yang secara keseluruhan bakal menyaksikan 16 pasukan yang berjaya dalam pusingan pertama layak ke pusingan kedua.

Sementara itu pengarah teknikal kelab berkenaan, Rith Dikar dipetik sebagai berkata pasukannya akan membuat beberapa perubahan di kalangan pemain berikutan persaraan penyerang veteran Sam El Nasa dan penjaga gol Ouk Mich.

“Hanya penyerang Mat Hassan merupakan pemain baru dan kami telah mengambil  tujuh pemain dari kelab belia kami. Kami tidak mempunyai masalah di bahagian serangan dan tengah, tetapi kami perlu mengukuhkan pertahanan kami kerana dibarisi ramai pemain muda,” katanya. — Bernama