DAP sokong penuh Anwar jadi PM

0

Tidak perlukan PM alternatif kerana yakin Anwar tidak disabitkan bersalah

SHAH ALAM: DAP semalam menyatakan sokongan penuh terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjadi perdana menteri walau apapun keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berhubung kes liwat ketua pembangkang itu hari ini.

Pengerusi Kebangsaan DAP Karpal Singh berkata, DAP tidak memerlukan perdana menteri alternatif kerana yakin Anwar yang juga Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak akan disabitkan kesalahan.

“DAP berpendirian tidak memerlukan perdana menteri alternatif kerana saya percaya Anwar akan menjadi perdana menteri sebenar,” katanya semasa berucap pada persidangan DAP 2012, yang dihadiri 749 delegasi dan 349 pemerhati, di sini semalam.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur akan membuat keputusan hari ini ke atas Anwar, 64, yang dituduh meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan, 26, pada 26 Jun 2008.

Ketika ditemui pemberita kemudian, Karpal Singh yang juga peguam bela Anwar dalam kes liwat itu berkata, jika mahkamah mendapati anak guamnya itu bersalah, pihaknya akan memohon penangguhan pelaksanaan hukuman sehingga proses rayuan selesai.

Ditanya sama ada DAP akan menyertai perhimpunan di Mahkamah Jalan Duta, Kuala Lumpur hari ini, Karpal Singh berkata: “Pemimpin DAP akan berada di sana bagi menunjukkan sokongan kami. Ini sudah memadai.”

Ketika diminta mengulas mengenai perbalahan berhubung isu ‘Godfather-Warlord’ antara beliau dengan Timbalan Setiausaha Agung parti itu Prof Dr P. Ramasamy, Karpal Singh berkata isu itu timbul bukan disebabkan masalah peribadi tetapi membabitkan parti.

Beliau bagaimanapun, tidak menjawab soalan pemberita sama ada mereka berdua telah menyelesaikan isu itu yang tercetus pada 28 Nov tahun lalu selepas sebuah akhbar vernakular melaporkan Ramasamy, yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Perai, mengumumkan bahawa beliau dan tiga calon wanita bakal bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-13.

Berikutan itu, Karpal, yang juga Anggota Parlimen Bukit Gelugor berkata, bukan untuk Ramasamy membuat pemilihan calon dan parti itu tidak mempunyai tempat untuk ‘Warlord”. Ramasamy kemudian menjawab parti itu boleh hidup tanpa ‘Godfather’.

Sementara itu, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dalam ucapannya pada persidangan itu berkata, parti itu juga menyokong Anwar sebagai perdana menteri alternatif.

Dalam pada itu, Lim berkata DAP akan menunda pemilihan parti yang sepatutnya diadakan pada Ogos kepada Disember tahun ini bagi membantu pakatan pembangkang mengekalkan kemenangan di Selangor pada pilihan raya umum akan datang. — Bernama