Sekolah vokasional bukan untuk pelajar lemah

0

Kebanyakan pelajar vokasional bukan sahaja cemerlang kemahiran malah juga akademik: Flora
KUCHING: Persepsi mengatakan sekolah vokasional mahupun sekolah kemahiran hanya untuk pelajar lemah akademik perlu diubah.

Pengetua Kolej Vokasional Kuching Flora Imor Phillips berkata, anggapan sedemikian adalah tidak tepat kerana kebanyakan pelajar vokasional bukan sahaja cemerlang dalam bidang kemahiran malah juga akademik.

“Mungkin dulu cara pengurusan menampakkan seolah-olah pelajar yang memasuki bidang vokasional adalah di kalangan pelajar yang lemah akademik,tetapi hakikatnya mereka tidak lemah tetapi kurang berminat dalam bidang akademik.

“Justeru,kita mahu anggapan sedemikian dikikis kerana pelajar vokasional ini tidak lemah malah lebih gigih dan rajin terutama ketika mengendalikan kerja-kerja kemahiran,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Hari Pendaftaran Pelajar Tahun 1 Kolej Vokasional Kuching sesi 2012, di sini semalam.

Menurut beliau, sungguhpun dikategorikan sebagai sekolah kemahiran namun pihaknya tetap menitikberatkan bidang akademik.

“Kami juga sedar kebanyakan pelajar di sini bukan jenis yang hanya ingin duduk membaca dan menulis sahaja tetapi mereka tidak boleh dianggap lemah.

“Jadi kalau mereka datang sini, sekurang-kurangya mereka boleh mendapat Sijil Kemahiran Malaysia Tahap 3 yang juga dinilai oleh Lembaga Peperiksaan Malaysia sepertimana Sijil Pelajaran Malaysia (SPM),” katanya.

Tambahnya, sistem pembelajaran di kolej tersebut adalah meliputi 70 peratus praktikal dan 30 peratus lagi adalah akademik.

“Kemahiran yang diperolehi sekurang-kurangnya membolehkan mereka memenuhi permintaan pasaran pekerjaan masa kini.

“Disebabkan itu, kini ramai yang sudah membuka minda dan sedar akan pentingnya bidang kemahiran,” katanya.