Keindahan sungai dipromosikan

0

Ia untuk menarik lebih ramai pelancong dari seluruh dunia ke Sarawak

KUCHING: Kementerian Pelancongan kini dalam rangka menarik lebih ramai pelancong dari seluruh dunia dengan mengetengahkan keistimewaan dan keindahan sungai di negeri ini.

Menterinya, Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg berkata, usaha tersebut kini sedang giat dilaksanakan terutamauntuk mempromosikan Sarawak sebagai sebuah pusat konvensyen yang terbaik di negara ini.

“Kita mahu mempromosikan keindahan di sepanjang Sungai Sarawak sebagai satu tarikan pelancongan di negeri ini yang saya percaya mampu menarik lebih ramai delegasi untuk menganjurkan mesyuarat mahupun konvensyen di sini.

“Disebabkan itu, kita mahu pembinaan jeti yang bakal menghubungkan pusat konvensyen (Pusat Konvensyen Borneo Kuching) dengan hotel-hotel terkemuka di bandar raya Kuching disiapkan dengan segera,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perpisahan Bekas Ketua Pegawai Eksekutif Biro Konvensyen Sarawak (SCB) Jill Henry di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), di sini malam Kelmarin.

Menurutnya, melalui jeti tersebut, delegasi akan berkesempatan mengunakan perkhidmatan pengangkutan air yang akan menyusuri Sungai Sarawak menuju ke BCCK.

“Dengan adanya jeti tersebut, ia akan memudahkan delegasi untuk ke pusat konvensyen dengan menggunakan bot selain berpeluang menikmati keindahan Sungai Sarawak.

“Kita juga sedar pentingnya delegasi berpeluang meluangkan masa menikmati keindahan negeri ini selain menyertai konvensyen atau bermesyuarat,” katanya.

Sementara itu,Jill dalam ucapannya turut mengakui Sarawak telah memainkan peranan dalam memperomosikan Malaysia di seluruh dunia.

“Sarawak banyak memainkan peranan dalam meletakkan Malaysia di peta dunia.

“Ramai yang berpendapat, tanpa Sarawak, Malaysia mungkin tidak akan terkenal seperti hari ini.

“Selain itu, kerajaan negeri juga telah memainkan peranan dengan memberikan kerjasama yang penuh dalam mempromosikan negeri ini sebagai antara pusat konvensyen terbaik di dunia,” katanya.

Hadir sama ialah Ketua Pegawai Esekutif Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) Datuk Rashid Khan dan Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan Datu Ik Pahin Joyik.