Baucar BR1M mulai diserah kepada 6,198 pemohon di Sibu

0

SIBU: Baucar Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) di sini mulai diserah kepada 6,198 pemohon yang berjaya bagi fasa pertama semalam.

Bagi penerima di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Dudong dan Bukit Assek, baucar RM500 disampaikan oleh Ahli Parlimen Lanang Datuk Tiong Thai King.

Majlis penyerahan tersebut telah diadakan di Dewan Suarah Sibu yang turut dihadiri oleh Pegawai Daerah Sibu Wong Sie Ming, Residen Bahagian Sibu Sim Kok Kee dan Temenggung Sir Andrian Ringgau.

Nudin Moksin, 48, salah seorang penerima bantuan ketika ditemui memberitahu bahawa beliau sangat gembira dan berterima kasih kepada kerajaan.

“Saya mengambil cuti setengah hari, semata-mata untuk hadir menerima bantuan berkenaan,” ujar beliau yang bekerja di sebuah syarikat di sini.

Katanya, baucar tersebut akan digunakan untuk perbelanjaan keluarganya termasuk persekolahan anak-anaknya.

Selain itu, Nudin yang tinggal di Sibu Jaya juga berharap pemberian bantuan seumpama itu dapat diteruskan pada masa akan datang.

Ini kerana ujar beliau, ia sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban rakyat khasnya mereka yang berpendapatan rendah.

Ragai Bakat, 87, yang berasal dari Rumah Juki, Belalang Salim turut senada dengan Nudin, mahukan bantuan seumpama itu diteruskan.

Beliau yang tidak mempunyai sebarang sumber pendapatan memberitahu, bantuan itu amat bermakna untuk dirinya.

“Saya tidak mempunyai suami di samping anak-anak sudah membina kehidupan masing-masing. Bantuan ini amat bermakna apatah lagi saya yang telah tua untuk mengerah keringat seperti orang lain,” ujarnya.

Katanya, beliau telah meminta seorang guru untuk membantunya mengisi borang permohonan sebelum menyerahkannya kepada pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk diproses.

Sementara itu, Tiong dalam ucapannya menyelar golongan tertentu yang menganggap pemberian bantuan tersebut sebagai gimik politik untuk memancing undi.

Menurut Tiong, sikap itu adalah tidak bertanggungjawab kerana telah menggunakan usaha murni kerajaan untuk mengukuhkan kedudukan mereka dengan mempersoalkan keikhlasan kerajaan.