BR1M suntikan keyakinan rakyat terhadap kerajaan

0

SEGAMAT: Timbalan Presiden MIC Datuk Dr S Subramaniam berkata, Bantuan Rakyat 1Malaysia (BRIM) untuk setiap keluarga berpendapatan kurang RM3,000 sebulan membuktikan kerajaan Barisan Nasional (BN) begitu prihatin dan bersungguh-sungguh dalam membantu meringankan beban rakyat tanpa mengira kaum.

Sambil menyifatkan bantuan itu sebagai satu suntikan keyakinan rakyat terhadap kerajaan, Menteri Sumber Manusia itu berkata, bantuan itu juga membuktikan kerajaan sedar akan masalah yang dihadapi golongan berpendapatan rendah.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas perasmian Pesta Ponggal di dewan orang ramai Batu Anam di sini kelmarin. Perayaan itu dirasmikan Menteri Besar Johor Datuk Abdul Ghani Othman.

Terdahulu dalam ucapannya, Dr Subramaniam meminta kerajaan negeri menggalakan pelabur membuka perusahaan berkaitan industri hiliran hasil pertanian di kawasan sepanjang Jalan Segamat–Labis di sini bagi meningkatkan ekonomi penduduk tempatan yang mengharapkan lebih banyak peluang pekerjaan.

Beliau turut meminta kerajaan negeri membuka peluang pekerjaan kepada masyarakat India di negeri ini.

Sementara itu, Abdul Ghani berkata, rakyat kini mulai sedar bahawa pembangkang tidak berupaya membela nasib mereka kerana tiada persefahaman di antara parti-parti itu.

“Mereka (pembangkang) akan terus menabur pelbagai janji kononnya mahu membela nasib rakyat miskin tetapi sekadar janji yang sedap didengar dengan tujuan ingin mendapat sokongan dalam pilihan raya,” katanya ketika merasmikan pesta itu.

Sehubungan itu, beliau mengajak masyarakat India supaya tidak memberi tempat kepada pembangkang sebaliknya membantu BN mengekalkan kemenangan pada pilihan raya ke-13 akan datang.

Mengenai pembangunan, Abdul Ghani berkata, kerajaan negeri tidak hanya me-numpukan pembangunan di kawasan utama seperti di Johor Baharu tetapi menyeluruh ke daerah lain di negeri ini.

Beliau yakin Segamat akan menjadi tumpuan pelabur apabila jalan empat lorong antara Segamat-Tangkak siap sepenuhnya dalam tempoh dua hingga tiga tahun lagi. — Bernama