Lebih RM100 juta dibelanja setahun untuk tujuan kebajikan

0

KOTA SAMARAHAN: Keprihatinan kerajaan terutama dalam aspek kebajikan rakyat terbukti kerana setiap tahun lebih RM100 juta dibelanjakan untuk tujuan itu.

Menurut wakil Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Zainal Taram, pada tahun lepas, sebanyak RM118 juta dibelanjakan untuk negeri Sarawak bagi bantuan bulanan melibatkan 43,000 penerima yang terdiri daripada golongan kurang bernasib baik.

“Pada 2011 bagi bahagian Samarahan sahaja, kami (JKM) membelanjakan lebih RM19.1 juta melibatkan 6,007 penerima bantuan bulanan dalam membantu meringankan beban serta menjaga kebajikan golongan yang kurang bernasib baik ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Sumbangan Tahun Baharu Cina anjuran Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-anggota Kerajaan Sarawak (MAKSAK) Wanita dengan kerjasama JKM Samarahan di Dewan Suarah Kota Samarahan di sini semalam.

Dalam majlis itu, seramai 48 orang menerima sumbangan berbentuk wang tunai dan hamper yang disampaikan oleh Pengerusi MAKSAK Wanita Datin Amar Saptuyah Suib.

Pada masa yang sama Zainal turut menyeru agar semua pihak memainkan peranan dalam menjaga kebajikan masyarakat di negeri ini khususnya golongan kurang bernasib baik.

“Menjaga kebajikan golongan ini bukan sahaja terletak di tangan JKM dan kerajaan semata-mata tetapi memerlukan kerjasama pihak lain seperti NGO (pertubuhan bukan kerajaan) dan pihak swasta kerana kita perlu bersatu untuk kebajikan,” tambahnya.

Selain itu, beliau turut mendedahkan bahawa kerajaan tidak memilih bulu dalam pemberian bantuan kebajikan kepada rakyat di negeri ini.

“Siapa sahaja yang layak menerima bantuan kebajikan kerajaan akan beri demi untuk meringankan beban rakyat tanpa pilih bulu,” ujarnya.

Difahamkan, lebih RM3,600 telah diagihkan kepada golongan kurang bernasib baik bagi bahagian Samarahan melibatkan 72 penerima sempena Tahun Baharu Cina.