Samalaju bertambah maju

0

PENGHARGAAN: Suzuki menyampaikan cenderamata kepada Taib pada majlis menandatangani Perjanjian Pembelian Tenaga antara SEB dan AML di Kuching, semalam. Turut kelihatan (dari kanan) Nakamura, Masing, Hamid dan Morshidi.

Syarikat asing sudah melabur RM50 bilion dalam beberapa industri: Taib

KUCHING: Sarawak sehingga kini menerima RM50 bilion nilai pelaburan asing daripada syarikat-syarikat yang melabur di kawasan perindustrian Samalaju.

Ketua Menteri, Pehin Sri Abdul Taib Mahmud berkata, daripada kawasan yang dibangunkan di Samalaju, 6,000 hektar daripadanya kini sudah dibangunkan oleh beberapa industri.

“Jika sebelum ini ada individu yang pernah menyatakan bahawa kita meletakkan impian yang terlalu tinggi dalam menarik pelaburan asing ke negeri ini.

“Bagaimanapun, kini kita amat bersyukur kerana dengan kebolehan Sarawak menarik pelaburan asing, nampaknya kita mencapai lebih baik daripada apa yang dijangkakan, dengan nilai pelaburan asing RM50 bilion di Samalaju,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis menandatangani Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA) antara Sarawak Energy Berhad (SEB) dan Asia Minerals Limited (AML) yang dihadiri Pengerusi AML Hirotaka Suzuki dan Duta Jepun di Malaysia Shigeru Nakamura di sini, semalam.

Taib berkata, jika dibandingkan dengan dua tahun lalu, Samalaju kini mengalami pertumbuhan yang amat baik dengan beberapa industri kini sudah memulakan pembinaan mereka di kawasan berkenaan.

Selain AML, iaitu sebuah syarikat berpangkalan di Hong Kong, tiga syarikat yang kini sudah memulakan pembinaan mereka di Samalaju ialah Press Metal Bintulu Sdn Bhd, Tokuyama Corporation Japan dan OM Holdings Ltd (Singapura).

Berhubung PPA yang dijalinkan, Taib berkata, operasi AML di negeri ini menandakan satu lagi usaha kerajaan negeri untuk mengembangkan industri bertaraf antarabangsa di kawasan perindustrian berkenaan.

“Saya percaya, ia mampu meningkatkan dan memperkembangkan ekonomi kepada rakyat setempat khasnya Sarawak dan Malaysia amnya.

“Kehadiran AML juga menambahkan satu lagi industri yang diwujudkan di kawasan perindustrian Samalaju,” tegasnya sambil menambah ia menjadi satu sejarah dalam perindustrian peleburan feroaloi mangan (manganese ferroalloy) di negeri ini.

Sarawak, kata Taib, sebelum ini telahpun menjalin kerjasama yang amat baik dengan pelabur dari Jepun.

“Saya memberi jaminan kepada anda (pelabur Jepun) bahawa kami akan melakukan yang terbaik kepada pelabur asing dengan peluang yang mereka perlukan,” ujarnya.

SCORE merupakan lokasi loji keempat AML yang melabur sekurang-kurangnya RM790 juta bagi fasa pertama dan kedua dalam industri peleburan feroaloi mangan.

Di bawah perjanjian itu, SEB akan menyediakan 270 megawatt tenaga elektrik bagi tempoh kontrak selama 20 tahun.

Hadir sama Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Kedua Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Menteri Kemajuan Tanah Tan Sri James Masing, Pengerusi SEB Datuk Hamid Sepawi, Ketua Pegawai Eksekutif SEB Torstein Dale Sjotveit dan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Amar Mohd Morshidi Abdul Ghani.