CUEPACS S’wak sambut baik semak semula SBPA

0

KUCHING: Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) Sarawak menyambut baik usaha Perdana Menteri mengumumkan agar pelaksanaan Sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) disemak semula secara menyeluruh.

Setiausaha CUEPACS Bahagian Sarawak (CBS) Ahmad Malie memberitahu, penyemakan semula itu penting demi manfaat semua anggota perkhidmatan awam.

“Kita (CUEPACS) di Sarawak menerima baik penyemakan semula SBPA ini. Sehubungan itu, CBS menggesa agar kerajaan dapat memurnikan Pekeliling 13 Tahun 2011 SBPA berkaitan Bayaran Insentif Wilayah (BIW),” katanya menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) di sini, semalam.

Beliau yang juga Presiden Kesatuan Guru Bumiputera Sarawak (KGBS) menjelaskan, berdasarkan pekeliling tersebut, BIW merupakan salah satu elaun yang ditambatkan.

“Oleh kerana BIW ini merupakan insentif khusus dan juga salah satu keistimewaan bagi penjawat awam di Sarawak, maka CBS dengan tegas menggesa agar kerajaan khususnya JPA menggugurkan BIW sebagai elaun yang ditambatkan dalam pekeliling tersebut.

“CBS mahu elaun BIW ini dibayar seperti biasa kepada kepada penjawat awam mengikut kadar yang telah ditetapkan dan dilaksanakan selama ini,” tegasnya lagi.

Justeru, Ahmad berkata, dengan adanya ruang untuk semakan semula SBPA itu, CBS mengharapkan isu elaun BIW yang akan ditambatkan nanti dapat dipertimbangkan semula untuk dibayar seperti biasa.

“Sekiranya kerajaan dapat mempertimbangkan perkara ini, CBS yakin dan percaya seluruh penjawat awam di Sarawak akan pasti merasa gembira.

“CBS menyatakan sedemikian kerana pada ketika ini  masih ramai dalam kalangan penjawat awam tidak berpuas hati dan melihat SBPA tidak begitu baik serta tidak adil untuk penjawat awam di Sarawak lantaran BIW akan ditambatkan,” ujarnya.

Pada Khamis lalu, kerajaan menyerahkan watikah pelantikan kepada 10 ahli pasukan petugas bagi menyemak semula SBPA.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan berkata, pasukan khas dipengerusikan bekas Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Ismail Adam itu juga akan menjemput wakil kementerian, ketua skim perkhidmatan, kesatuan dan persatuan sekerja serta pihak berkaitan jika ada keperluan dalam usaha menyelesaikan isu berbangkit SBPA yang dikuatkuasakan 1 Januari lalu.