Eye-Mann johan Pertandingan Nasyid Terbuka Belia

0

KUCHING: Kumpulan Eye-Mann berjaya merangkul gelaran johan Pertandingan Nasyid Terbuka Belia anjuran Persatuan Kebangsaan Melayu Sarawak (PKMS) Cawangan Petra Jaya, semalam.

Mereka berjaya membawa balik wang tunai bernilai RM500, hamper dan sijil penyertaan.

Tempat kedua pula dimenangi oleh kumpulan N.G.F.U dan tempat ketiga, Az-Zahra.

Mereka masing-masing memenangi wang tunai bernilai RM400 dan RM300, berserta hamper dan sijil penyertaan.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Fadillah Yusof yang hadir untuk merasmikan majlis itu semalam menyeru agar elemen kreativiti dan inovasi diselitkan dalam nasyid.

Jelasnya, ia adalah bagi memudahkan lagi penerimaan mesej yang ingin disampaikan menerusi seni tersebut.

“Sekiranya anda dapat menyelitkan kreativiti dalam nyanyian, ia akan menambah baik mutu nyanyian dan membolehkannya diterima secara meluas, selain menarik keahlian (menyertai persatuan),” katanya.

Sementara itu, Pengerusi PKMS Cawangan Petra Jaya Bujang Sitam menjelaskan, pertandingan itu adalah yang kedua dianjurkan oleh pihaknya.

“Ia diilhamkan sebagai salah satu kegiatan keagamaan tahunan bagi memupuk semangat ukhuwah Islamiah dalam kalangan belia,” katanya.

Hadir sama, Penasihat Jawatankuasa Pengelola Datuk Muhammed Kassim dan Datuk Bandar Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) Datuk Abang Abdul Wahap Abang Julai.