Wednesday, July 24

Abu Seman kunjungi kediaman rakan dan pemimpin NGO

0

SIBU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jemoreng merangkap Setiausaha Politik Ketua Menteri Abu Seman Jahwie telah mengunjungi beberapa kediaman rakan dan pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di sini sempena sambutan Tahun Baharu Cina, semalam.

Antara kediaman rakan rapat beliau yang dikunjungi untuk mengucap selamat menyambut Tahun Naga itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengetua Kolej Kejururawatan Kolej ITA Datuk Seri Dr Benny Lee di Jalan Kenari, Pengarah Urusan Kumpulan Forestkin Dato Sri Luk Teck Hoe yang juga di Jalan Kenari dan Pengerusi Kumpulan Hock Peng Datuk Toh Chiew Hock di Jalan Lanang.

Suasana sambutan Tahun Baharu Cina di kediaman Dr Benny Lee bertambah meriah dengan persembahan tarian singa dengan diiringi paluan gendang.

Selepas itu, Abu Seman berkunjung ke kediaman Presiden Belia Persekutuan Persatuan Fuzhou Sedunia merangkap Presiden Kelab Lions Berjaya Sibu Walter Ting Hua Aik di Jalan Bukit Lima Timur dan Pengarah Ehsan Jaya Plantation Frankie Chieng di Jalan RTM.

Pada sebelah petangnya, Abu Seman berlepas ke Matu untuk memeriahkan sambutan Tahun Baharu Cina bersama-sama rakan dan masyarakat Cina di kawasan Dewan Undangan Negerinya.

Bercakap kepada pemberita, Abu Seman memberitahu, konsep 1Malaysia benar-benar terserlah dan diamalkan oleh masyarakat berbilang kaum di negeri ini apabila mereka turut berkunjung ke kediaman rakan Cina untuk mengucapkan selamat menyambut Tahun Naga.