Amalan kunjung-mengunjungi erat hubungan antara semua pihak

0

BERKONGSI KECERIAAN: Ding mengagihkan angpau kepada masyarakat yang hadir pada majlis rumah terbuka anjuran SUPP Cawangan Jalan Kim San, semalam.

SARIKEI: Amalan kunjung-mengunjungi semasa sesuatu perayaan merupakan satu amalan yang amat baik dalam mengeratkan hubungan antara semua pihak.

Ahli Parlimen Sarikei Ding Kuong Hiing berkata, budaya ini harus disemai pada semua lapisan masyarakat dalam memupuk sikap hormat-menghormati antara satu sama lain tanpa mengira perbezaan agama, bangsa dan budaya.

“Saya berasa sungguh bangga melihat budaya yang telah diamalkan oleh semua masyarakat di kawasan kita ini, tanpa ada mengamalkan sikap membeza-beza.

“Kunjungan pelbagai bangsa semasa sambutan perayaan ini kepada masyarakat yang meraikannya, menunjukkan semangat perpaduan antara semua masih lagi kukuh pada masyarakat kita pada hari ini.

“Kita patut bersyukur, kerana apa yang telah kita nikmati pada hari ini adalah hasil daripada kerjasama dan tolak ansur semua pihak dalam mewujudkan keharmonian hingga kita mahu pergi ke mana-mana tanpa ada rasa ragu dan takut dan tidak seperti mana-mana tempat yang sedang bergolak pada masa ini,” kata Ding.

Beliau berkata demikian kepada pemberita sebaik sahaja selesai mengunjungi rumah terbuka anjuran Parti  Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Jalan Kim San, semalam.

Majlis berkenaan dilangsungkan di dewan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hua, Jalan Kim San, Sarikei.

Menurut Ding, amalan 1Malaysia memang sudah utuh pada masyarakat di negeri ini dan apa yang perlu dilakukan sekarang ialah menjaganya sebaik mungkin.

“Masyarakat harus berusaha menolak mana-mana pihak yang cuba membawa budaya yang tidak baik bagi memporakperandakan keadaan yang telah sedia ada ini.

“Jangan kita rosakkan kebahagiaan yang telah lama kita bina ini, dengan tewas kepada hasutan sesuatu pihak yang cuba untuk menangguk di air yang keruh.

“Kita sebagai masyarakat yang berjiwa sejati dan mempunyai budi pekerti yang tinggi harus teguh dalam mempertahankan kesejahteraan yang telah kita nikmati ini,” tegas Ding.

Pada masa yang sama, Ding turut mengunjungi beberapa rumah ketua-ketua masyarakat Cina dan penduduk setempat yang terdapat di kawasan ini.