Cardiff mara ke final Piala Liga

0

CARDIFF, Wales: Cardiff berhempas-pulas untuk melangkah ke final Piala Liga Inggeris Selasa lepas, apabila bangkit dari kekalahan 0-1 pada perlawanan pertama sebelum menewaskan Crystal Palace menerusi penentuan sepakan penalti.

Palace, yang kehilangan kapten pasukan, Patrick McCarthy kerana dibuang padang pada lewat permainan, menangani asakan demi asakan dari Cardiff untuk memastikan perlawanan ditentukan menerusi sepakan penalti selepas berkesudahan 1-1 secara agregat.

Tetapi Palace cemas pada saat akhir apabila Jermaine Easter, Sean Scannell dan Jonathan Parr gagal menyempurnakan tendangan mereka untuk membolehkan Cardiff menempah pertemuan akhir menentang sama ada Liverpool atau Manchester City.

Cardiff mencipta kemenangan apabila tendangan Parr melambung tinggi lalu menyebabkan pesta kegembiraan penyokong tempatan.

Perlawanan ditentukan menerusi sepakan penalti selepas Anthony Gardner — yang menjaringkan gol kemenangan Palace pada perlawanan pertama — menjaringkan gol sendiri seawal minit ketujuh ketika pergelutan di hadapan pintu gol.

Gardner hanya mampu melihat bola terkena kepalanya dan masuk ke pintu golnya sendiri ketika cuba menangani satu hantaran lintang Craig Conway.

Cardiff menguasai permainan tetapi gagal melakukan penyudah untuk menamatkan saingan. — AFP