Liga MPP 2012 bermula awal

0

KUCHING: Liga Bola Sepak Majlis Perbandaran Padawan (Liga MPP) dijangka melabuhkan tirainya lebih awal pada tahun ini iaitu antara April dan Mei berbanding sebelumnya pada Jun.

Justeru, Pengerusi Penganjur Kaunselor Edward Kurik menyarankan kelab-kelab di sekitar bandar raya ini supaya mula mempersiapkan pasukan bagi melayakkan diri menyertai liga berprestij tersebut.

“Kita sekarang dalam proses panggilan mesyuarat Liga MPP 2012 dan kita juga merancang untuk awalkan penganjuran sama ada bermula penghujung April atau awal Mei.

“Dengan pengumuman ini, saya berharap pasukan-pasukan akan mula membuat persiapan dan latihan kerana liga ini memang akan dianjurkan,” katanya.

Menurut Edward, format kejohanan masih kekal secara liga dengan penetapan jumlah penyertaan sebanyak 32 pasukan dari Kuching sahaja.

Tambah beliau, penganjur — MPP juga masih belum dapat memperluaskan jemputan kepada pasukan dari bahagian lain negeri ini atas sebab-sebab tertentu.

Ini kerana, jelas Edward, penyertaan pasukan-pasukan dari Kuching sahaja sudah begitu luar biasa sehingga pihak penganjur perlu membuat penilaian pasukan terlebih dahulu sebelum melayakkan penyertaan.

“Kita juga mungkin akan menyingkirkan penyertaan beberapa pasukan tahun lepas yang dikenal pasti tidak menunjukkan prestasi baik dari segi disiplin atau mutu permainan untuk memberi laluan kepada pasukan-pasukan lain.

“Ini kerana, selain untuk mengenalpasti bakat-bakat pemain tempatan, objektif kita ialah mahu menjadikan Liga MPP bermutu,” kata Edward.

Liga MPP menawarkan hadiah wang tunai RM2,500 serta piala pusingan yang akan menjadi milik pasukan johan dua kali.

Bayaran penyertaan bagi setiap pasukan ialah RM350 dengan RM100 daripada bayaran tersebut dijadikan sebagai deposit keselamatan.

Deposit keselamatan tersebut akan dikembalikan sekiranya pasukan menunjukkan disiplin yang baik pada sepanjang perlawanan.