PAS berkeyakinan tinggi mampu menawan kubu kuat BN

0

MIRI: PAS Sarawak berkeyakinan tinggi mampu menumbangkan kubu kuat Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) berikutan pertambahan sokongan rakyat pelbagai kaum terhadap parti itu.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Sarawak Jofri Jaraiee berkata, parti itu bukan sekadar memperjuangkan nasib rakyat Islam sebaliknya nasib semua kaum dan agama tidak kira di bandar mahupun luar bandar.

“PAS sentiasa berusaha untuk mendekati rakyat dan baru-baru ini kami telah mengadakan kunjungan Tahun Baharu Cina bagi mengeratkan hubungan parti bersama masyarakat Cina,” katanya kepada Utusan Borneo kelmarin.

Malah katanya, melalui aktiviti sebegini, masyarakat Miri akan mudah mengenali PAS secara dekat dan secara langsung menangkis dakwaan yang kononnya PAS hanya memperjuangkan nasib rakyat Islam sahaja.

“Ada sesetengah pihak mendakwa PAS akan ditolak atau tidak diterima di Sarawak disebabkan PAS hanya sebuah parti yang memperjuangkan Islam semata-mata tanpa memikirkan masalah orang lain.

“Dakwaan ini adalah tidak tepat, hanya mereka yang takut akan kedudukan mereka terancam dan jahil saja yang beranggapan begitu,” jelasnya.

Menurutnya, PAS Miri telah membuktikan bahawa dakwaan tersebut tidak tepat, dengan tertubuhnya Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) yang disertai pelbagai kaum dan agama.

“Kalau PAS tidak diterima oleh masyarakat berbilang bangsa dan agama di Sarawak, sudah tentu mereka tidak menganggotai DHPP.

Setelah mereka mendapat kefahaman benar tentang perjuangan PAS dan Islam, mereka yakin bahawa PAS boleh diterima oleh semua kaum dan agama di negara ini,” ujarnya.

Jofri memberitahu, PAS sentiasa memberi penerangan dan penjelasan kepada masyarakat berbilang kaum di Miri dan parti itu bukanlah sebuah parti yang hanya mementingkan politik sebaliknya bertanggungjawab menjaga kepentingan rakyat.