MIRI: Sarawak kini bersedia untuk menampilkan generasi pemain golf terbaik di Malaysia dengan barisan pemain mudanya yang semakin menyerlah hasil daripada program dan latihan insentif yang dijalankan.
Penasihat Kelab Golf Miri (KGM), Datuk Sebastian Ting memberitahu berbanding negeri lain, Sarawak memiliki program untuk pemain golf muda atau junior yang terbaik di negara ini terutamanya di Miri.
Katanya di negeri ini, KGM kini memiliki seramai 120 pemain golf muda berbakat dan berpotensi untuk diketengahkan ke peringkat antarabangsa hasil daripada program insentif seperti kejohanan bulanan.
“Di Miri, KGM akan mengadakan pertandingan pada setiap bulan untuk meningkatkan kemahiran permainan mereka dan ternyata pemain golf muda ini menunjukkan persaingan memberangsangkan.
“Malah salah satu daripada program KGM yang paling berhasil ialah kejohanan golf junior yang diwujudkan tujuh tahun lalu. Tahun ini ia kembali untuk edisi kelapan pada Jun ini,” katanya.
Sebastian berkata, kejohanan ini walaupun tidak menawarkan wang tunai lumayan namun ia merupakan kejohanan paling popular kerana bukan sahaja tumpuan pemain muda Miri tetapi berjaya menarik penyertaan pemain muda berbakat dari seluruh Sarawak, Sabah dan Brunei.
“Melalui kejohanan ini kami akan mengilap bakat-bakat muda yang boleh diketengahkan ke peringkat antarabangsa,” katanya lagi ketika ditemui di kediamannya di sini semalam.
Terdahulu beliau menerima kunjungan daripada Pemangku TYT Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nassar, sempena Tahun Baharu Cina.
Mengenai akademi golf, Sebastian berkata Sarawak masih belum memiliki sebarang kemudahan seumpama itu, namun setiap bahagian mempunyai program pembelajaran dan kemahiran golf masing-masing seperti di Miri, di mana KGM dan Eastwood Valley Golf Club mempunyai kursus atau program insentif tersendiri.
“Dengan jumlah pemain berdaftar seramai 120 orang setakat ini, Miri adalah ‘pengeluar’ pemain muda terbaik di Sarawak dan mungkin juga di Malaysia, berdasarkan jumlah pemain yang mengambil bahagian dalam kejohanan yang diadakan,” katanya lagi.
Antara pemain bintang yang pernah dilahirkan oleh KGM Miri hingga ke pertandingan peringkat antarabangsa ialah Michelle Ting dan Dianne Luke yang kini mengikuti ijazah pengurusan golf di Amerika Syarikat di bawah program biasiswa tajaan ke-rajaan negeri.