Tragedi Tahun Baharu Cina Lelaki maut bunga api meletup di muka

4

KOTA KINABALU:  Kegembiraan sebuah keluarga yang menyambut kehadiran Tahun Baharu Cina di Luyang baru-baru ini bertukar tragedi apabila salah seorang daripada mereka maut selepas terkena letupan bunga api pada mukanya.

KELUARGA mangsa tidak mampu menahan sebak melihat keadaan mangsa yang cedera teruk pada bahagian muka selepas terkena letupan bunga api.

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah malam itu, mangsa seorang penjual kuih yang dikenali sebagai By Shaow Yong, 26, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan teruk pada bahagian muka dan kepalanya.

Difahamkan sebelum kejadian pada ambang Tahun Baharu Cina itu, mangsa bersama ahli keluarganya sedang bermain bunga api dan dia dipercayai telah menghidupkan dua bunga api secara serentak.

Salah satu daripada bunga api terbabit dikatakan terbang tinggi ke udara dan meletup seperti biasa, bagaimanapun satu lagi gagal berfungsi menyebabkan mangsa yang hairan pergi memeriksanya.

Sejurus selepas mangsa tiba di tempat ‘pelancaran’ bunga api berkenaan, tiba-tiba ianya meletup di depan muka mangsa menyebabkan mangsa terus rebah dan tidak sedarkan diri.

Letupan itu juga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan serius di muka dan kepala, dan dia dipercayai meninggal dunia di tempat kejadian.

Difahamkan, mangsa baru berkahwin pada Disember lepas dan bakal menimang cahaya mata tidak lama lagi.

Ketua Polis Bandaraya Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Ahmad Sofi Zakaria ketika dihubungi kelmarin mengesahkan kejadian itu dan berkata pihaknya masih menjalankan siasatan.

Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa meninggal dunia akibat kecederaan serius selepas bunga api terbabit meletup di berhampiran mukanya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai agar tidak bermain mercun mahupun bunga api kerana ianya boleh menyebabkan kemalangan yang tidak diingini berlaku.

“Mercun atau bunga api ini bukan sahaja bahan terlarang tetapi juga boleh menyebabkan kecederaan ataupun kematian, pihak polis akan sentiasa memantau perkara ini,” tegasnya.