Liverpool ke Wembley

0

PEMUSNAH: Penyerang Liverpool, Craig Bellamy (tengah) meraikan golnya bersama rakan-rakan sepasukan, Jordan Henderson (kiri) dan Charlie Adam pada aksi separuh akhir kedua Piala Liga Inggeris di Anfield, 25 Januari lepas. — Gambar AFP

Bellamy wira apabila menjaringkan gol pemusnah ke atas City

LIVERPOOL, England: Craig Bellamy menjaringkan gol penting ke atas bekas kelabnya ketika Liverpool melangkah ke final Piala Liga Inggeris dengan mene- waskan Manchester City 3-2 secara agregat Rabu lepas, sekali gus menyebabkan pengurus kelab, Kenny Dalglish berderaian air mata.

Perlawanan separuh akhir kedua menarik di Anfield itu berkesudahan dengan seri 2-2 tetapi kemenangan tercipta di Stadium Etihad dua minggu lepas membolehkan Liverpool menentang Cardiff City, sebuah lagi bekas kelab Bellamy di Stadium Wembley pada bulan depan.

“Sememangnya tiada final yang lebih baik bagi saya,” kata Bellamy, yang meninggalkan padang dengan tepukan hormat daripada penonton selepas ditukarkan pada lewat permainan.

“Cardiff begitu bermakna bagi saya, di situlah asal-usul saya. Saya tidak pernah bermain di Wembley. Menewaskan kelab seperti Man City dengan semua pemain yang mereka miliki untuk ke final, ia sememangnya cukup hebat.”

City bermula tanpa penyerang kontroversinya, Mario Balotelli selepas membuat keputusan tidak merayu penggantungan empat perlawanan kerana sengaja memijak kepala pemain tengah Tottenham Hotspur, Scott Parker pada hujung minggu lepas.

City bagaimanapun mengikat kedudukan secara agregat apabila rembatan Nigel de Jong pada minit ke-31 menerjah jaring tetapi sembilan minit kemudian, Liverpool kembali di hadapan apabila kapten pasukan, Steven Gerrard menyempurnakan satu tendangan penalti.

Penjaga gol City, Joe Hart memastikan pasukannya masih terus bersaing apabila menepis beberapa cubaan bahaya sebelum Edin Dzeko meletakkan City di hadapan 2-1 pada minit ke-67.

Ketika perlawanan berbaki 16 minit, gol kemenangan agregat Liverpool hadir menerusi penyudah cantik Bellamy.

Cardiff pula mengesahkan tiket ke final selepas menewaskan Crystal Pa-lace 3-1 menerusi penentuan sepakan penalti selepas terikat 1-1 secara agregat Selasa lepas.

Kemenangan ini memberikan Liverpool satu peluang memburu kejua-raan pertama mereka sejak memenangi Piala FA pada 2006 dan lawatan pertama ke Wembley sejak 1996 kerana final sebelum ini dilangsungkan di Stadium Millennium di Cardiff ketika Wembley dalam proses baik pulih.

Sementara itu, Dalglish tidak dapat menahan sebak kegembiraan sejurus wisel penamat ditiup pengadil.

“Saya berasa amat gembira dengan segala usaha dan komitmen… Kami akan menikmati saat yang hebat ini,” kata beliau.

Dengan membawa kemenangan 1-0 daripada perlawanan pertama di Manchester dua minggu lepas, Liverpool kelihatan bersemangat sejak sepak mula dan Hart terpaksa me-nepis cubaan dari Jose Enrique, Charlie Adam dan Bellamy.

Pertahanan City ternyata merasai ketiadaan kapten pasukan, Vincent Kompany yang masih digantung perlawanan dan pemain gantian, Stefan Savic kelihatan gagal mengisi kekosongan itu di mana beliau ditukarkan pada masa rehat.

Namun, dengan lebih banyak saingan berlaku di pintu gol City, pasukan pelawat itu tiba-tiba membuka jaringan apabila David Silva melakukan lorongan cantik kepada De Jong, yang merembat dari jarak 25 meter.

Liverpool enggan mengalah dan mereka kembali di hadapan secara agregat apabila pengadil Phil Dowd menghadiahkan tendangan penalti selepas bola terkena tangan pemain pertahanan City, Micah Richards.

Gerrard tenang menyempurnakan tendangan untuk mengikat kedudukan tetapi pendahulu Liga Perdana Inggeris itu kembali di hadapan dan seri secara agregat apabila hantaran lintang Aleksandar Kolarov disempurnakan oleh Dzeko.

Mancini, yang tenang ketika pemain dan kakitangan pasukannya meraikan gol itu, menyedari pasukannya belum boleh menarik nafas lega, seperti ketika mempersia-siakan pendahuluan gol ketika menentang Spurs dalam liga.

Selepas gandingan cantik dengan Glen Johnson, Bellamy menewaskan Hart untuk memastikan Anfield kembali bergegar pada detik-detik akhir permainan. — Reuters