Melaka bayar pampasan RM7.7 juta, ambil alih syarikat bas henti-henti

0

MELAKA: Kerajaan negeri Melaka akan mengambil alih pengurusan bas henti-henti bermula 1 Feb depan setelah membayar pampasanbernilai RM7.7 juta kepada 10 syarikat bas henti-henti di negeri itu, semalam.

Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata, bayaran pampasan itu melibatkan 110 bas berjumlah RM5.4 juta, 118 pekerja berjumlah RM1.8 juta serta ganti rugi tambahan kepada keseluruhan syarikat tersebut berjumlah RM500,000.

“Kita berharap tranformasi ini dapat memperbaiki sistem pengangkutan awam serta menyediakan perkhidmatan terbaik kepada warga Melaka yang menggunakan perkhidmatan bas henti-henti walaupun (kerajaan Melaka) terpaksa menanggung kerugian akibat pengambilalihan ini,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Panorama Melaka Cultural and Tourism (PMCT)Sdn Bhd dan 10 pengusaha syarikat bas henti-henti di negeri itu di sini.

Syarikat yang terlibat dalam pengambilalihan itu ialah Syarikat Perusahaan Kenderaan Hj Aziz Bin Alias Sdn Bhd; Syarikat Town Bus Service Bhd; Syarikat Malacca Omnibus Service Sdn Bhd; Syarikat Bas Tai Lye Sdn Bhd; Syarikat Patt HupTransport Sdn Bhd; Syarikat Bas Tuah Sdn Bhd; Syarikat Batang Bus Sdn Bhd; Syarikat Salira Transport & Tours Sdn Bhd; Syarikat Roda Juara Sdn Bhd dan Syarikat Bas Wira Sdn Bhd.

Beliau berkata, masalah bayaran pampasan kepada syarikat bas henti-henti yang tertangguh sebelum ini, diselesaikan dengan bantuan kewangan bernilai RM8.8 juta daripada Yayasan Melaka, Perbadanan Ketua Menteri, Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Kerajaan Negeri Melaka, Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) dan Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB).

Mohd Ali berkata, pengurusan operasi baru syarikat bas henti-henti itu akan dikendalikan oleh PMCT Sdn Bhd iaitu anak syarikat Perbadanan Ketua Menterimenggunakan jenama Panorama.

Beliau berkata, antara pembaharuan dan penambahbaikan yang akan dilakukan secara berperingkat ialah menggantikan semua bas lama kepada baru iaitu sebanyak141 buah bas, menggunakan sistem tiket berkomputer dan memperluaskan laluan bas daripada 80 kepada 141 laluan termasuk kawasan luar bandar.

Katanya setakat semalam, sebanyak 10 buah bas Panorama baru telah beroperasi manakala 131 buah lagi akan ditambah secara berperingkat dalam tempoh setahun.

Beliau berkata kesemua bas tersebut disewa daripada SCOMI Special Vehicle Sdn Bhd dengan kos antara RM10,000 dan RM13,000 sebuah sebulan.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Bas Melaka, Razali Endun berkata langkah kerajaan negeri mengambil alih pengurusan bas henti-henti merupakan satu tindakan prihatin dan tepat pada masanya.

“Industri bas henti-henti di negeri ini telah lama mengalami kerugian dan ia semakin mendesak sejak lima tahun kebelakangan ini disebabkan kenaikan harga alat ganti bas dan diesel,” katanya. — Bernama