Agong minta UPNM tingkatkan prestasi

0

Untuk merealisasikan misi penubuhannya

TABIK HORMAT: Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah diiringi Naib Canselor Universiti Pertahanan Nasional (UPNM), Lt Jen Datuk Wira Allatif Mohd Noor (kiri) berkenan memeriksa perbarisan sempena Istiadat Perbarisan Diraja dan Pentauliahan Pegawai Kadet UPNM di Dataran Panglima Tentera Darat, Kem Sungai Besi di Kuala Lumpur, semalam. — Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah bertitah Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) perlu mengambil langkah berterusan selaras perkembangan semasa dalam memastikan kecemerlangannya pada masa depan.

Titah Seri Paduka Baginda, semua pihak terutama pengurusan institusi itu harus mengekalkan prestasi dan prestij UPNM ke arah mencapai visi dan misi penubuhannya.

Tuanku Abdul Halim bertitah demikian pada Istiadat Perbarisan Diraja dan Pengurniaan Watikah Pentauliahan 302 pegawai kadet UPNM di sini semalam.

“Beta amat berbangga kerana UPNM berjaya melahirkan pegawai-pegawai muda yang bakal mewarisi kepimpinan unggul ATM pada masa depan,” titah Seri Paduka Baginda.

Turut berangkat menghadiri majlis itu ialah Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah. Hadir sama Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Seri Paduka Baginda mengingatkan bahawa anugerah pentauliahan itu satu amanah yang perlu dipelihara dan dihayati dengan iltizam berterusan.

Pegawai Rendah Kanan Luqman Hakim Sahar, 24, terpilih sebagai pegawai kadet terbaik pada upacara tersebut.

Anak seorang petani yang meminati badan beruniform sejak di bangku sekolah lagi itu kini menggenggam Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (Kuasa) daripada UPNM.

Bagi Kapten Rabiatul Adawiyah, 23, pula kejayaannya menamatkan latihan selama empat tahun itu ialah berkat dorongan keluarga dan keazamannya sejak kecil untuk menjadi anggota tentera.

“Saya tidak melihat apa-apa perbezaan antara saya sebagai wanita dan kadet lelaki. Kami diajar pelbagai bentuk latihan dan disiplin secara saksama dan tiada pilih kasih,” katanya. — Bernama