Saturday, December 14

HIMPUN sokong penubuhan Jawatankuasa Penguatkuasaan Undang-undang Syariah

0

KEPALA BATAS: Sekretariat Perhimpunan Sejuta Umat (HIMPUN) menyokong penubuhan Jawatankuasa Pusat Penguatkuasaan Undang-undang Syariah bagi mempertingkatkan penguatkuasaan enakmen berhubung penyebaran agama oleh bukan Islam kepada orang Islam.

Timbalan Pengerusi Himpun Kebangsaan Abdullah Zaik Abd Rahman berkata, jawatankuasa itu penting bagi membendung gejala penyebaran agama oleh bukan Islam kepada orang Islam yang kian berleluasa dewasa ini.

“Himpun menyokong usaha Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharum untuk melaksanakan jawatankuasa itu di setiap negeri. Setakat ini Himpun belum buat sebarang tindakan tetapi kami sangat bersetuju dengan penubuhan jawatankuasa itu,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan pidatonya di Perhimpunan Sejuta Umat ‘Selamatkan Akidah’ di Dewan Budi Penyayang, di sini, semalam.

Katanya, setakat ini undang-undang syariah yang sedia ada hanyalah untuk orang Islam, menangani orang Islam yang murtad tetapi bukan untuk orang yang memurtadkan orang Islam.

Jawatankuasa itu dipengerusikan oleh Jamil Khir dan dianggotai pengarah jabatan agama Islam negeri, wakil Kementerian Dalam Negeri, wakil Jabatan Peguam Negara dan Polis Diraja Malaysia.

Abdullah Zaik berkata, HIMPUN juga akan menyerahkan memorandum yang mengandungi akta murtad kepada Majlis Raja-Raja dalam usaha membendung gejala ini daripada terus berleluasa di negara ini.

“Memorandum itu telah sedia tetapi belum ada masa yang sesuai untuk menghantarnya, tetapi akan dihantar dalam tempoh terdekat ini,” katanya.

Sementara itu dalam sesi pidato yang diadakan bekas exco kerajaan Selangor yang juga bekas Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Dr Hasan Ali berkata, terdapat segelintir pemimpin dalam PAS yang menjadi parasit kerana menghalang ahlinya menghadiri perhimpunan ini.

“Saya boleh faham kalau DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang halang untuk hadir perhimpunan ini kerana itu parti campur-campur, tetapi saya tidak boleh faham kalau yang menghalang itu adalah anggota dari bekas parti yang saya pernah sertai. Jadi saudara fikir-fikirkanlah,” katanya. — Bernama