Pemberian BR1M tanda kerajaan menghargai sokongan rakyat

0

MARAN: Penyaluran dana Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) adalah agenda nasional bagi menghargai sokongan rakyat terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN).

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Hal Ehwal Felda Negeri, Datuk Tan Mohd Aminuddin Ishak berkata, BR1M membantu golongan berpendapatan rendah memperoleh wang tunai bagi tujuan membeli pelbagai keperluan harian.

Namun, seperti biasa, pembangkang mempertikai dan memfitnah kerajaan bahawa pemberian BR1M untuk menagih simpati rakyat dan untuk memancing undi, katanya pada majlis penyerahan BR1M Parlimen Maran peringkat DUN Chenor siri 2 di Dewan Pekan Awah di sini, semalam.

Beliau yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Chenor mengingatkan orang ramai supaya tidak terpedaya dengan tohmahan pembangkang itu kerana ia bermotifkan politik dan terbukti kerajaan mempunyai dana yang cukup untuk memberi RM500 kepada mereka yang layak.

Sementara itu, Anggota Parlimen Maran Datuk Ismail Abdul Muttalib berkata, kepimpinan negara telah menangani pelbagai masalah secara bijaksana sehingga ekonomi negara terus berkembang secara positif.

Katanya kemantapan ekonomi negara turut mempengaruhi pendapatan berkapita negara yang secara langsung disalurkan semula kepada rakyat melalui pelbagai insentif seperti BR1M dan bantuan itu perlu perlu dimanfaatkan sepenuhnya. — Bernama